Tuesday, 19 March 2013

Anwar Saman Papa Gomo RM 100 Juta!!


Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan saman RM 100 juta kepada Blogger Pro-UMNO 'Papa Gomo' berikutan menyiarkan gambar skandal seks mirip Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Anwar melalui peguamnya yang juga merupakan Naib Presiden PKR N Surendran, memberi tempoh 48 jam kepada Papa Gomo untuk mengemukakan permohonan maaf bermula hari ini dan membayar RM 100 juta sebagai kos ganti rugi.

"Tuntutan sejumlah ganti rugi tersebut berikutan hubungan rapat bloger tersebut dengan UMNO dan UMNO akan membantu beliau," kata N Surendran hari ini.

Pada sabtu lepas, Papa Gomo melalui blognya www.papagomo.com menyiarkan sebuah gambar seorang lelaki tanpa pakaian di dalam sebuah bilik serta meletakkan pautan kepada sebuah blog lain bertajuk 'Aksi si Raja Goyang' yang menyiarkan 13 gambar yang dipercayai mirip gambar yang sebelumnya.





Berikut permohonan maaf yang dibuat oleh Papa Gomo :


Salam sejahtera kepada Dato Sri Anwar Bin Ibrahim Ketua Umum Pakatan Rakyat. Saya dengan ini memohon maaf diatas ketelanjuran saya yang menyebarkan gambar gambar berbentuk separa lucah kepada rakyat. Saya benar benar memohon maaf diatas kebiadapan saya ini yang mencerca Dato Sri dan melabelkan Dato Sri sebagai pengamal Homoseksual. 

Dengan permohonaan Maaf ini saya harap agar Dato Sri dapat balik menarik saman RM 100 juta yang difailkan keatas saya kerana saya orang susah, tidak ada duit sebanyak itu untuk membayar saman Dato Sri. Lagipun saya terpaksa menanggung 5 orang adik adik saya yang masih lagi bersekolah manakala ibu saya tidak sihat dan bapa saya pula tidak berkerja. 

Klik Sini untuk artikel penuh.

Video : ANWAR, YES or NO??

Rafizi cuba jatuhkan saya - Shahrizat


Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini tiada anggota keluarganya yang berbincang dengan beliau mengenai pembelian dua unit kondominium.

Oleh itu, kata Shahrizat, beliau tidak tahu menahu tentang pembelian dua unit kondominium 'One Menerung' menggunakan dana National Feedlot Corporation (NFCorp).
"Ya, mereka (anggota keluarga) tidak berbincang dengan saya," katanya ketika disoal balas peguam Ranjit Singh dalam kes samannya terhadap Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Zuraida Kamaruddin dan pengarah strategik parti itu, Rafizi Ramli.

Ketika disoal selanjutnya oleh Ranjit yang mewakili Mohd Rafizi, sama ada beliau tahu tentang sebuah syarikat yang dikenali dengan nama National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd (NMLC), telah membeli kedua-dua unit itu, Shahrizat menjawab: "Saya tidak tahu".

Ketua Pergerakan Wanita Umno itu berkata beliau menyedari tentang dakwaan berkaitan NFCorp apabila syarikat itu menjadi isu.
Shahrizat tidak bersetuju dengan cadangan Ranjit bahawa kenyataan Mohd Rafizi berhubung isu NFCorp adalah sebagai respons kepada kenyataan yang dibuat perdana menteri dan menteri pertanian dan industri asas tani di Parlimen pada 2011.

"Tidak, saya tidak bersetuju. Beliau (Mohd Rafizi) cuba menjatuhkan saya sebagai Ketua Wanita BN kerana beliau takut kepada kekuatan Wanita BN," katanya, dan menambah kenyataan Mohd Rafizi berhubung isu NFCorp seringkali menyebut mengenai keluarganya.

Pada 19 Jan tahun lepas, Shahrizat memfailkan saman fitnah terhadap Zuraida dan Mohd Rafizi berhubung dakwaan kenyataan fitnah yang dibuat oleh kedua-dua mereka mengenai isu NFCorp.

Beliau menuntut RM100 juta dalam ganti rugi am, teladan dan teruk daripada kedua-dua defendan.

Beliau turut memohon injunksi bagi menghalang defendan daripada mengeluarkan kenyataan sama ada secara lisan atau dengan cara penerbitan terhadap beliau berhubung sebarang perkara berkaitan NFCorp atau syarikat bersekutunya.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Vazeer Alam Mydin Meera bersambung. - Bernama

Anggaran Pengganas kurang 50 orang, boleh tumpas dalam waktu terdekat #Lahad Datu


Pasukan keselamatan akan terus memburu saki-baki pengganas Sulu yang menceroboh Lahad Datu dan yakin dapat menumpaskan mereka dalam tempoh terdekat.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata pasukan keselamatan percaya jumlah militan yang berkubu di Kampung Tanjung Batu kini kurang daripada 50 orang.
Beliau berkata pasukan keselamatan juga tidak menghiraukan pengumuman Jamalul Kiram yang disiar media Filipina bahawa kumpulan pengganas itu akan melancarkan perang gerila ke atas Malaysia.
"Jamalul Kiram boleh cakap apa saja. Kami akan tentang mereka habis-habisan," katanya pada sidang akhbar bersama Panglima Satu Divisyen Infantri Tentera Darat Mej Jen Datuk Ahmad Zaki Mokhtar di Felda Sahabat 16, dekat sini hari ini.
Hamza berkata dua pertempuran berlaku antara pasukan keselamatan dan kumpulan pengganas pada hari ke-14 Operasi Daulat iaitu pada 8.05 pagi dan 9.45 pagi.
Menjawab pertanyaan wartawan stesen televisyen Filipina GMA 7 mengenai pasukan keselamatan mengambil kesempatan ke atas pengganas setelah Jamalul Kiram mengumumkan gencatan senjata, Hamza berkata pengganas terlebih dahulu menyerang dan membunuh dua anggota polis serta mencederakan tiga lagi dalam pertempuran di Kampung Tanduo, dekat sini 1 Mac lepas.
"Kami tidak akan hormati kata Jamalul Kiram kerana pengikutnya menembak mati dua anggota polis, sedangkan sehari sebelum itu beliau umum gencatan senjata," katanya.
Hamza turut memberitahu bahawa Malaysia dan Filipina sedang berunding berhubung tuntutan mayat 28 pengganas yang ditembak mati dalam insiden pencerobohan itu.
Sementara itu, Ahmad Zaki berkata 12 kereta kebal berantai jenis Adnan milik tentera darat tiba di Felda Sahabat untuk membantu mengukuhkan pertahanan dan membanteras pengganas di Kampung Tanjung Batu.
"Kereta perisai itu juga bertujuan untuk memberi perlindungan yang lebih efektif kepada pasukan keselamatan dalam menggeledah kawasan dan mendominasi kawasan," katanya.
Di KUALA LUMPUR, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata pasukan keselamatan yakin operasi pembersihan di Kampung Tanjung Batu akan selesai dalam masa dua atau tiga hari lagi sebelum penduduk dibenar pulang ke rumah masing-masing.
"Operasi di Sungai Nyamuk dan Kampung Tanduo telah selesai dan kini dalam peringkat menentukan kerosakan yang dialami penduduk kampung," katanya kepada pemberita di Kementerian Pertahanan di sini hari ini.
Mengenai tempoh Operasi Daulat, Zulkifeli berkata pasukan keselamatan tidak dapat memberi jangka waktu bila operasi itu akan berakhir. - Bernama

Monday, 18 March 2013

Najib Persoal Agenda Pas Berhubung 'Syahid Dunia'



Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mempersoal agenda di sebalik Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Datuk Harun Taib menyifatkan  anggota dan pegawai keselamatan dalam insiden pencerobohan dan tembakan di Lahad Datu, Sabah sebagai 'syahid dunia'.
Beliau berkata kenyataan Harun pada Sabtu lepas di Kuala Terengganu itu amat bertentangan dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam (Jawatankuasa Fatwa) yang bersidang pada 6 Mac.
Perdana menteri berkata Jawatankausa Fatwa telah menyatakan anggota keselamatan yang terkorban dalam isu pencerobohan di Sabah tergolong dalam 'syahid akhirat' kerana terkorban dalam mempertahan keselamatan nyawa, harta, keluarga, maruah dan kedaulatan negara.
“Yang kita rasa kesal, tentang mati syahid pun nak dipolitikkan. Nak bercanggah pula dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa. Apakah agenda sebenar pihak pembangkang? Seorang dalam kalangan pemimpin pembangkang yang mulut celupar mendakwa itu sebuah sandiwara kerajaan pimpinan Umno.
“Ini bukan masanya untuk kita menjadikan soal begitu serius yang melibatkan kedaulatan negara, nyawa pasukan keselamatan, maruah negara sebagai bahan politik untuk ditendang ke sana sini mengikut nafsu politik masing-masing,” katanya pada majlis penyerahan surat tawaran menunaikan fardu haji kepada calon program khas haji 1434H/2013 tajaan Yayasan 1MDB di sini hari ini.
Najib juga menyeru setiap rakyat Malaysia supaya menunjukkan kesetiaan kepada negara.
Sementara itu,  Najib berkata kerajaan mengamalkan konsep wasatiyyah dalam mencari penyelesaian apabila berdepan dengan isu pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Sabah baru-baru ini.
Pertama, beliau berkata kerajaan tidak bertindak terburu-buru kerana mahu mengelak berlakunya pertumpahan darah.
“Kalau boleh selesai dengan baik, lebih-lebih lagi antara orang Islam dengan orang Islam, meskipun mereka ceroboh masuk ke negara kita dengan senjata tetapi kita memberi peluang kepada mereka demi tidak ingin melihat ada orang yang terkorban dan akhirnya pertumpahan darah pasti akan berlaku.
“Sebaliknya apabila peluang ini diberikan tidak dibalas dan kita pula puak yg diperangi oleh mereka dan kita dianiaya oleh mereka, maka pada masa itu wajib kita tentang mereka.
“Ini selaras dengan hukum-hukum dalam Islam setelah kita memberi peluang  untuk mencari jalan kedamaian tetapi pihak yang berkenaan mengisytiharkan perang terhadap kita. Maka, wajib bagi kita mempertahan nyawa, harta, tanah dan negara kita.
“Ini prisnip Islam yang tidak boleh dipersoalkan oleh sesiapa pun,” katanya. - Bernama