Friday 30 August 2013

10,000 tetamu Sertai Sambutan Raya sayap UMNO

Kemeriahan sambutan majlis hari raya tiga sayap parti UMNO - Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri hari ini tambah berseri dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Presiden dan Timbalan Presiden UMNO itu tiba kira-kira 2 petang disambut kepimpinan sayap parti termasuk Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizad Abdul Jalil; Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin dan Ketua Puteri, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

 Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Seri Noorainee Abdul Rahman.

Turut serta barisan kepimpinan parti termasuk Setiausaha Agung, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Naib-naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal serta Ketua Penerangan, Datuk Ahmad Maslan.

 Mewakili ketiga-tiga sayap parti, Shahrizat dalam ucapannya mengalu-alukan kehadiran para tetamu yang memeriahkan majlis itu.

 Majlis rumah terbuka Merdeka Raya itu turut mengambil peluang untuk memperingati jasa pejuang negara yang telah memungkinkan rakyat hidup dalam keadaan aman dan damai.

Kira-kira 10,000 tetamu membanjiri sambutan itu sejak majlis bermula kira-kira 11 pagi bertempat di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

 Kehadiran tetamu disambut mesra kepimpinan sayap Shahrizat, Khairy dan Rosnah dan Exco-exco.

Pelbagai juadah hari raya termasuk sate, lemang, rendang, mi rebus, kambing panggang, roti jala, mi goreng dan pelbagai manisan serta buah-buahan menanti pengunjung. - BERNAMA

Irwan Fahmi Harus Sedar Diri - KJ

Jadikan Rasuah Sebagai Sejarah - Najib



Kerajaan komited menangani rasuah yang sebagai sebahagian daripada strategi untuk mengingatkan persekitaran perniagaan dalam negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib yang membuat ikrar itu berkata pewujudan portfolio tadbir urus dan integriti dalam kabinet selain menggubal peruntukan perundangan liabiliti korporat bagi melengkapkan kewujudan undang-undang anti-rasuah, jenayah komersil dan syarikat sedia ada, membuktikan komitmen itu.

"Saya mahu menjadikan rasuah sebagai sejarah di Malaysia, dan tidak berlaku lagi pada masa depan. Dan ini bermakna mengubah budaya organisasi dan perniagaan," katanya pada majlis penutupan Program Etika Melatih Jurulatih Majlis Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik di sini hari ini.

Selain itu, syarikat multinasional, syarikat senaraian awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) secara sukarela telah memperkukuh kawalan dalaman dan menyertai program ikrar korporat bagi membuktikan komitmen mereka terhadap prinsip-prinsip anti-rasuah.

Di peringkat Asean, beliau berkata negara anggota Asean berusaha mewujudkan komuniti ekonomi tunggal menjelang 2015, yang penting bukan sahaja bagi membangunkan ekonomi mampan, malah merupakan isyarat mengenai komitmen mereka terhadap amalan perniagaan beretika dengan bertindak bagi menangani rasuah di negara masing-masing.

Selain itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menetapkan paras yang lebih tinggi dari segi amalan terbaik, katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata sejak tiga tahun lepas, suruhanjaya itu telah melatih dan mengesahkan integriti pegawai dan berusaha menubuhkan unit-unit integriti di kesemua agensi kerajaan dan GLC. 

"Ini secara menyeluruhnya merupakan campur tangan penting dalam persekitaran perniagaan. Dan pulangan atas pelaburan ini juga sangat penting," katanya.

Bagi tadbir urus dan komersil, nilai penting ialah amanah, katanya.

"Jika kita menunaikan janji kepada rakyat -- sebagai contoh, usaha berterusan menangani rasuah yang dibuat secara konsisten, nilai itu akan meningkat," kata Najib.

Perdana Menteri berkata ganjarannya bukan sahaja dalam bentuk persekitaran perniagaan yang lebih terbuka dan telus, pasaran lebih cergas dan peluang lebih besar, malah memperbaharui keyakinan terhadap keupayaan kerajaan untuk berubah kepada yang lebih baik.   

Beliau berkata di kebanyakan negara, masyarakat tidak berapa yakin terhadap institusi kewangan, memandangkan rakyat akan menanggung beban akibat dasar yang salah.

"Ada bank keterlaluan, menyalahgunakan kepercayaan pemegang saham dan peserta pasaran, dan apabila sistem gagal, pembayar cukai yang terpaksa menanggungnya," katanya.

Najib memuji inisiatif yang diambil oleh sekretariat Apec yang memperkenal dan memberi tumpuan kepada etika perniagaan memandangkan ia akan mengurangkan peraturan yang tidak jelas, kompleks dan bercelaru.

Dengan menggalakkan budaya dan etika bertanggungjawab yang digariskan oleh standard sejagat yang jelas, negara boleh membuat sumbangan bermakna dalam membincangkan kaedah permodalan pasaran yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat moden selain membuat perubahan ketara untuk meletakkan ekonomi masing-masing pada tahap yang lebih baik," kata Perdana Menteri. - Bernama

Monday 26 August 2013

Isu 'Apa lagi Cina Mahu' : Khairy Pertahan Kenyataan PM


Datuk Seri Najib Razak hanya membuat penilaian dan tidak menyalahkan mana-mana komuniti berikutan tajuk utama Utusan Malaysia pada  akhbar itu 'Apa lagi Cina Mahu' sebaik sahaja pilihan raya umum ke-13 selesai.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, Najib hanya menjelaskan pemerhatian beliau tentang pola pengundi Cina yang sebahagian besarnya menolak BN dan pola pengundi Melayu yang kembali menyokong Barisan Nasional.

"Beliau hanya membuat pemerhatian dan tidak menyalahkan mana-mana komuniti.

"Tajuk utama akhbar itu dan pendirian perdana menteri adalah berbeza," katanya.

Jelas Khairy, Perdana Menteri tetap meneruskan gagasan 1Malaysia walaupun dengan penuh komited.

"Najib komited untuk mempertahankan pendekatan 1Malaysia sehingga ke hari ini. Beliau telah konsisten dalam berpegang kepada platform dasar inklusif." katanya.

Umum Senarai Nama Kongsi Gelap - KDN



Kementerian Dalam Negeri akan mengumumkan senarai nama kumpulan kongsi gelap serta jenayah yang dilakukan mereka, kata menteri berkenaan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata ia akan diumum dalam waktu terdekat selepas proses pewartaan selesai dibuat.

"Kami dah ada senarai nama kumpulan yang dikategorikan sebagai pertubuhan haram serta senarai aktiviti jenayah dilakukan," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan ahli kongres Amerika Syarikat Eni Faleomavaega di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata langkah mendedahkan senarai itu kepada umum ialah untuk membolehkan masyarakat faham bahawa polis bersungguh-sungguh dalam usaha menangani jenayah.

"Ia juga untuk membangkitkan kesedaran bahawa masyarakat perlu bersama-sama mendokong usaha polis membanteras jenayah," katanya.

Menerusi senarai itu juga, beliau berkata masyarakat dapat mengetahui bahawa kegiatan kongsi gelap bukan hanya membabitkan sesuatu kaum sebaliknya melibatkan kaum-kaum lain.

"Ramai yang mengatakan kongsi gelap hanya membabitkan kaum India sedangkan kongsi gelap Melayu dan Cina juga banyak," katanya.

Mengenai Ops Cantas, Ahmad Zahid berkata operasi itu dijalankan di seluruh negara dan bukan hanya tertumpu di Pulau Pinang.

"Tumpuan turut diberikan di seluruh negara dan polis sudah bersiap sedia untuk bertindak kerana telah menghidu beberapa lagi jenayah terancang yang akan dilakukan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid menjelaskan keselamatan keseluruhan rakyat lebih penting daripada menjaga jumlah mereka yang akan dikenakan pemakaian peranti pengawasan elektronik (EMD).

"Dalam hal ini bukan soal hak asasi manusia tetapi bagaimana identifikasi untuk menentukan keamanan itu dapat dilaksanakan di negara kita," katanya.
Beliau mengulas mengenai EMD yang akan digunakan ke atas penjenayah tertentu yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), menerima kritikan pihak tertentu.

EMD bertujuan mengesan suspek jenayah terancang dan kejam bagi memastikan mereka tidak melakukan jenayah lain semasa dalam jaminan. - Bernama

Sunday 25 August 2013

Penurunan Harga Kereta Perlu Berperingkat


Pelaksanaan untuk menurunkan harga kereta tidak mustahil namun ianya perlu dilaksanakan secara berperingkat.

Bekas Pengarah Urusan Proton Holdings Bhd Datuk Seri Syed Zainal Abidin berkata pihak kerajaan dilihat sedang menuju ke arah penurunan harga kereta namun menyifatkan ia sebagai mustahil jika dilakukan secara mendadak.

"Harga akan turun, berperingkat dan banyak perlu di ambil kira. Sebagai pembeli kita harap harga turun dan untuk turun mendadak ia agak mustahil," katanya kepada Rakyat News selepas menghadiri Forum bertajuk Dasar Automotif Negara: Perlindungan: Kereta Mampu Milik untuk Belia di Persidangan Tahunan Pimpinan Mahasiswa Malaysia (MSLS) kali ke 7 di Hotel Intercontinental Kuala Lumpur hari ini.
Sumber

Idris jumpa NGO bincang isu PTPTN Rabu Ini


Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh akan mengadakan pertemuan dengan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Rabu ini di Kuala Lumpur untuk membincangkan kaedah sesuai peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membayar balik pinjaman.

Beliau berkata, pertemuan itu untuk mendapatkan pendapat dan cadangan yang boleh dilakukan oleh pihak PTPTN bagi memastikan peminjam yang berdepan kesukaran untuk membayar balik pinjaman mendapat keadilan dan tidak teraniaya.

"Ini pertemuan yang pertama, kita akan buka lagi banyak pertemuan termasuk dengan kumpulan peminjam untuk mengetahui apa masalah mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan wang pendahuluan pembiayaan (WPP) di sini hari ini.

Menurutnya pihak PTPTN sebenarnya bersikap terbuka dan bersedia berbincang dengan peminjam untuk membayar balik pinjaman mengikut kemampuan mereka.

Katanya kerajaan tetap akan mengekalkan PTPTN dalam memastikan pendemokrasian pendidikan sekali gus  membantu semua golongan rakyat mendapat peluang untuk belajar.

"Walaupun ada sesetengah negara maju yang melaksanakan dasar pendidikan percuma, namun mereka mengenakan kadar cukai yang tinggi iaitu sekitar 40 ke 45 peratus dan di Malaysia kita hanya mengenakan cukai 24 ke 25 peratus," katanya.

Katanya sejak 16 tahun lalu PTPTN telahpun menyalurkan kira-kira RM50.52 bilion untuk membiayai pendidikan kira-kira 2.24 juta pelajar untuk melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Selain itu PTPTN turut mengeluarkan sebanyak 644,144 waran WPP melibatkan peruntukan tunai sebanyak RM947.62 juta untuk kemasukan ke universiti awam dan swasta, katanya.

"Untuk kemasukan September ini 49,075 pelajar mendapat kemudahan tersebut melibatkan peruntukan RM73.6 juta," katanya. - Bernama

Saturday 24 August 2013

Desak Waytha Moorthy Letak Jawatan - Zahid Hamidi

Bekas pemimpin Pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) yang kini memegang jawatan tertinggi Kerajaan diminta meletakkan jawatannya serta merta kerana mempertikaikan tindakan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menembak mati lima suspek penjenayah di Pulau Pinang baru-baru ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penjenayah tidak seharusnya menerima simpati umum dalam usaha kerajaan memerangi  jenayah di Negara ini.

"Jika ada seorang tokoh yang pernah ketuai NGO, dan jadi anggota pentadbiran memberi komen negatif, berhenti dari kerajaan, duduk dalam NGO semula. Dalam perkara ini jangan kita ada simpati kepada penjenayah.

 "Awak faham-faham sendirilah," katanya ketika disoal pemberita berhubung bekas pemimpin NGO yang dimaksudkan beliau.
Sumber

Friday 23 August 2013

Hasan Ali : Potensi Positif Barisan Peguam Pertahan Kalimah Allah

Barisan peguam kerajaan dan Majlis Agama Negeri-Negeri termasuklah Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) yang mengendalikan kes berkaitan kalimah Allah disifatkan sebagai potensi positif dalam perkembangan Islam untuk masa akan datang.

Presiden Jalur Tiga (JATI), Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata, hujah-hujah yang ditampilkan barisan peguam yang juga kebanyakan dikalangan muda sebagai penanda aras yang baik kepada Islam dalam negara.

"Peguam kita yang kebanyakan dikalangan orang muda merupakan potensi yang hebat kepada perkembangan Islam akan datang," katanya kepada pemberita ketika bersama-sama NGO Islam lain menunggu keputusan mahkamah di Mahkamah Rayuan Putrajaya semalam.

Mahkamah memutuskan menolak permohonan Gereja Roman Katolik untuk membatalkan rayuan Majlis Agama Islam dan pihak lain berhubung kebenaran menggunakan kalimah Allah dalam majalah mingguan Herald.

Namun demikian, Hasan turut mengambil peringatan daripada barisan peguam supaya tidak terlalu gembira dengan keputusan mahkamah kerana hari penentu sebenar adalah pada 10 September ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru supaya orang ramai dikalangan penganut Islam supaya dapat bersama-sama hadir pada tarikh berkenaan bagi memberi motivasi kepada barisan peguam kerajaan dan Majlis Agama Negeri-Negeri termasuk MACMA.

"Kita diperingatkan oleh peguam, ini adalah keputusan awal, tidak terlalu meraikan. Ini adalah keputusan yang akan membawa kita tentang rayuan induk pada 10 September.

Wednesday 21 August 2013

Pemimpin Melayu DAP Serahkan Keputusan Kepada Perwakilan



Pemimpin Melayu DAP berserah kepada perwakilan untuk menetukan nasib mereka dalam kalangan pada pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang akan diadakan semula nanti.

Senator Dr Ariffin S.M Omar berkata, beliau tidak mahu membuat sebarang spekulasi mengenai peluannya di dalam CEC kali ini dan memberikan nasibnya ditentukan oleh semua perwakilan yang akan mengundi nanti.

"Saya akan menerima keputusan dan pilihan yang dibuat oleh perwakilan. Ini bukan perkara yang saya suka atau tidak suka," katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Omar merupakan antara lapan calon pemimpin Melayu dari kalangan 66 ahli DAP yang gagal untuk merebut 20 kerusi CEC pada pemilihan yang diadakan pada Disember lalu.

Beliau walaubagaimanapun berpuas hati dengan keputusan undi terhadapnya walaupun baru sahaja bertanding merebut jawatan tersebut.

"Saya baru sahaja dilantik sebagai senator tetapi menerima sebanyak 400 undi, satu angka yang agak baik," katanya.

Pemilihan CEC lalu dianggap sebagai pemilihan kontroversi yang mengakibatkan Zairil Khir Johari dipilih sebagai salah satu daripada anggota CEC selepas memperoleh 803 undi ekoran berlakunya kesilapan teknikal pada sistem pengiraan undi.

Selain itu, terdapat juga perwakilan tidak hadir kerana tidak dijemput untuk menyertai yang kemudiannya mendapat campurtangan Jabatan Pendaftaran (RoS).
Sumber

Monday 19 August 2013

Kerajaan Kedah sedia pengawal keselamatan di Mesir


Kerajaan Kedah mengambil tindakan mengupah pengawal keselamatan bagi mengawal asrama pelajarnya di Mesir susulan kejadian ceroboh dan samun di asrama itu dua hari lepas.

Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata tindakan itu dilaksana menerusi Yayasan Islam Kedah (YIK) bagi memastikan keselamatan penghuni asrama
yang sebahagian besar anak Kedah terjamin.

"Melihat keadaan dan situasi negara yang sedang bergolak itu pihak keselamatan gagal untuk mengawal keadaan sehingga ada pihak yang cuba ambil kesempatan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya masih terdapat 721 pelajar dari Kedah di Mesir ketika ini, manakala 390 orang telah pulang ke tanah air kerana cuti semester.

Kerajaan negeri sedang menunggu arahan kerajaan pusat untuk membawa pulang pelajar selain memantau bekalan makanan mereka, katanya menambah beliau
dimaklumkan rakyat Mesir juga menasihatkan pelajar Malaysia kembali ke tanah air secepat mungkin.   

Sehubungan itu juga, beliau menasihatkan anak Kedah yang bakal menyambung pengajian di Mesir menangguhkan dahulu pengajian mereka sehingga keadaan kembali stabil.

Katanya kerajaan negeri juga sedang mempertimbang untuk memindahkan anak Kedah di Mesir menyambung pengajian di negara lain seperti Jordan atau
universiti tempatan.

Mukhriz sebelum itu menyampaikan Surat Tawaran Pinjaman Pelajaran Kepada 35 Pelajar yang belajar di Mesir dan Jordan tajaan YIK Sesi 2013/2014 di Wisma
Darul Aman di sini. hari ini.

Sementara itu beliau turut menggalakkan pelajar yang melanjutkan pelajaran di negara asing mengambil kesempatan mempelajari dan menguasai bahasa negara
tuan rumah.

"Kita lihat dari mula sampai habis belajar mereka langsung tidak guna kesempatan untuk benar-benar mendalami bahasa asing untuk tingkatkan kefasihan bahasa asing. Kalau kita lihat mereka ini hanya duduk dalam kumpulan pelajar Malaysia sahaja tanpa bergaul dengan masyarakat setempat," katanya. - Bernama

Calon Naib Presiden : Hishammuddin Wakil Tunggal UMNO Johor


Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan menjadi wakil tunggal Umno Johor yang bakal bertanding sekaligus mempertahankan jawatannya itu pada pemilihan parti Oktober ini.

Beliau ketika diminta mengulas perkara itu berkata, beliau berasa terharu dengan sokongan yang ditunjukkan Umno Johor untuk beliau mempertahankan jawatan tersebut.

 "Saya rasa begitu terharu dengan keputusan tersebut...saya rasa bangga dan bertuah sangat apabila mendapat mandat daripada rakan-rakan di Johor," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Umno Bahagian Pontian di sini, semalam.

 Turut hadir pada majlis yang dihadiri lebih 5,000 penduduk itu ialah Timbalan Menteri Kewangan yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Pontian Datuk Ahmad Maslan dan Ketua Umno Bahagian Pontian Datuk Ir Hasni Mohammad.

 Pemilihan Hishammuddin itu disahkan menerusi mesyuarat Badan Perhubungan Umno Johor yang dipengerusikan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

 Sementara itu, beliau turut menyambut baik keputusan DAP yang akur dengan arahan Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) 

Tambahnya, ianya membuktikan tindakan tegas ROS adalah tepat walaupun sebelum ini telah dikecam pimpinan DAP.

 "Walaupun banyak tuduhan telah dilemparkan namun tindakan terbaru DAP ini membuktikan pihak mana yang benar dan pihak mana yang mengikut emosi," katanya.

Sumber