Friday 30 August 2013

Jadikan Rasuah Sebagai Sejarah - Najib



Kerajaan komited menangani rasuah yang sebagai sebahagian daripada strategi untuk mengingatkan persekitaran perniagaan dalam negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib yang membuat ikrar itu berkata pewujudan portfolio tadbir urus dan integriti dalam kabinet selain menggubal peruntukan perundangan liabiliti korporat bagi melengkapkan kewujudan undang-undang anti-rasuah, jenayah komersil dan syarikat sedia ada, membuktikan komitmen itu.

"Saya mahu menjadikan rasuah sebagai sejarah di Malaysia, dan tidak berlaku lagi pada masa depan. Dan ini bermakna mengubah budaya organisasi dan perniagaan," katanya pada majlis penutupan Program Etika Melatih Jurulatih Majlis Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik di sini hari ini.

Selain itu, syarikat multinasional, syarikat senaraian awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) secara sukarela telah memperkukuh kawalan dalaman dan menyertai program ikrar korporat bagi membuktikan komitmen mereka terhadap prinsip-prinsip anti-rasuah.

Di peringkat Asean, beliau berkata negara anggota Asean berusaha mewujudkan komuniti ekonomi tunggal menjelang 2015, yang penting bukan sahaja bagi membangunkan ekonomi mampan, malah merupakan isyarat mengenai komitmen mereka terhadap amalan perniagaan beretika dengan bertindak bagi menangani rasuah di negara masing-masing.

Selain itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menetapkan paras yang lebih tinggi dari segi amalan terbaik, katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata sejak tiga tahun lepas, suruhanjaya itu telah melatih dan mengesahkan integriti pegawai dan berusaha menubuhkan unit-unit integriti di kesemua agensi kerajaan dan GLC. 

"Ini secara menyeluruhnya merupakan campur tangan penting dalam persekitaran perniagaan. Dan pulangan atas pelaburan ini juga sangat penting," katanya.

Bagi tadbir urus dan komersil, nilai penting ialah amanah, katanya.

"Jika kita menunaikan janji kepada rakyat -- sebagai contoh, usaha berterusan menangani rasuah yang dibuat secara konsisten, nilai itu akan meningkat," kata Najib.

Perdana Menteri berkata ganjarannya bukan sahaja dalam bentuk persekitaran perniagaan yang lebih terbuka dan telus, pasaran lebih cergas dan peluang lebih besar, malah memperbaharui keyakinan terhadap keupayaan kerajaan untuk berubah kepada yang lebih baik.   

Beliau berkata di kebanyakan negara, masyarakat tidak berapa yakin terhadap institusi kewangan, memandangkan rakyat akan menanggung beban akibat dasar yang salah.

"Ada bank keterlaluan, menyalahgunakan kepercayaan pemegang saham dan peserta pasaran, dan apabila sistem gagal, pembayar cukai yang terpaksa menanggungnya," katanya.

Najib memuji inisiatif yang diambil oleh sekretariat Apec yang memperkenal dan memberi tumpuan kepada etika perniagaan memandangkan ia akan mengurangkan peraturan yang tidak jelas, kompleks dan bercelaru.

Dengan menggalakkan budaya dan etika bertanggungjawab yang digariskan oleh standard sejagat yang jelas, negara boleh membuat sumbangan bermakna dalam membincangkan kaedah permodalan pasaran yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat moden selain membuat perubahan ketara untuk meletakkan ekonomi masing-masing pada tahap yang lebih baik," kata Perdana Menteri. - Bernama

No comments:

Post a Comment