Showing posts with label nik aziz. Show all posts
Showing posts with label nik aziz. Show all posts

Saturday, 27 April 2013

Nik Aziz Yakin Rakyat Pilih Kerajaan Pusat Baru 5 Mei


Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yakin Barisan Nasional (BN) akan dikuburkan selama-lamanya pada 5 Mei ini dengan kerajaan baru dibentuk pada keesokan hari.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, dengan angin kebangkitan rakyat negara ini yang mahukan perubahan dalam atmosfera politik akan memilih Pakatan Rakyat (PR) sebagai peneraju kepimpinan negara dan menolak kerajaan sekarang.

“(Pada) 5 Mei rakyat akan mengundi, keyakinan saya mereka memilih kerajaan yang berlandaskan syariat Islam.

“6 Mei seluruh negara akan merayakannya dengan tertubuhnya negara Islam sebenar. Gelombang Islam akan hapuskan nilai-nilai sekular,” katanya ketika menyampai ceramah perdana bertajuk ‘Pas For All’ di sini malam tadi.

Hadir sama, calon Pas Parlimen Putrajaya, Datuk Husam Musa; Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar; Timbalan Pesuruhjaya Pas Wilayah Persekutuan, Md Nor Mohd; Yang Dipertua Pas Putrajaya, Nazir Zakaria dan calon Pas Parlimen Titiwangsa, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzami.

Dalam perkembangan sama menurutnya, PR akan menerapkan konsep cara hidup Islam sepenuhnya dalam setiap aspek kehidupan.

“Islam datang dari ALLAH SWT, kita (manusia) hanya menumpang di dunia ALLAH. Tibalah masanya kita amalkan sebuah negara mengikut acuan seperti yang disyariatkan.

“Saya yakin Putrajaya ini bakal dirampas dan kita bersama-sama menobatkan Datuk Husam Musa sebagai Ahli Parlimen Pas di sini,” katanya.

Sementara itu, di Pentas Treler Negara Berkebajikan yang sama, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, sekiranya BN terus memerintah negara fitnah akan menjadi santapan rakyat setiap hari.

“Sebelum menjelang tarikh 5 Mei, Umno-BN telah rencanakan 1,001 fitnah jahat sebagai momokan pilihan raya.

“Terkini blogger Milo Suam mendedahkan proses undi awal penjawat awam tidak seperti dijadualkan berlangsung pada 30 April telah didakwa tetapi Papagomo yang memihak kepada mereka dibiarkan bertanding sebagai calon bebas di Permatang Pauh,” katanya.

Mengulas perkara sama Nurul Izzah berkata, tanpa Pemantau Pilihan Raya (Paca) tidak mustahil BN akan merampas keputusan pilihan raya.

“Diingatkan undi setiap rakyat adalah penting untuk masa depan negara kerana pilihan raya kali ini terpenting buat kita.

“Kita perlu kuat menahan fitnah dan tohmahan menjelang tarikh 5 Mei kerana semua itu akan kita kuburkan pada hari berikutnya,” katanya.
Sumber - Sinar

Friday, 19 April 2013

DAP tidak lagi takut Islam - Nik Aziz

Tindakan DAP yang mahu menggunakan logo Pas dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) membuktikan parti itu tidak lagi takut kepada perjuangan Islam yang dibawa pihaknya.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, tindakan DAP yang mahu menggunakan lambang Pas  juga  menunjukkan kesepakatan Pakatan Rakyat yang sebelum ini didakwa tidak bersatu dalam perjuangan.

"Ambo (saya) dapat panggilan, kata DAP tidak boleh guna roket, nak guna lambang Pas, boleh sangat, kalau betul (pendaftar Pertubuhan) tidak benar guna, esok (hari ini) DAP akan guna lambang Pas, ini bermakna mereka boleh terima Islam.

"Tidak masuk Islam tidak mengapa tetapi ia boleh mengurangkan Islamfobia, tak payah cakap banyaklah Umno," katanya semasa ucapan memperkenalkan calon Pas Pengkalan Chepa di sini semalam.

Nik Aziz mendakwa, Pas tidak seperti Umno yang sanggup menjaga hati MCA yang jelas menolak Islam melalui kenyataan beberapa orang pimpinannya.

Dalam ucapan itu, Nik Aziz turut mengakui terdapat pemimpin DAP yang menghubunginya untuk mentafsir ayat Al-Quran.

"Saya selalu dapat panggilan tengah malam dari orang Cina yang bertanya terjemahan al-Quran, ini pemimpin DAP sekarang," katanya.

Sumber

Wednesday, 17 April 2013

Kelantan isytihar 5 Mei cuti peristiwa


Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengisytiharkan 5 Mei ini cuti peristiwa sempena Pilihan Raya Umum ke-13.

Menurutnya, cuti itu diluluskan bagi memudahkan kakitangan awam, swasta serta seluruh rakyat yang layak mengundi keluar mengundi pada hari tersebut.

“Mereka tidak perlu lagi memohon cuti atau keluar sementara untuk mengundi dan sebagainya.

“Negeri lain khususnya tidak perlu isytihar cuti memandangkan hari Ahad jatuh pada hari minggu, jadi untuk memberi keadilan pada semua, kita istihar cuti,” kata beliau dipetik Harakahdaily.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyarat exco, di Kota Darulnaim di sini.

Sumber - SINAR

Tuesday, 16 April 2013

Jangan Pisah Agama & Politik - Nik Aziz


Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa Umno-Barisan Nasional (BN) menjadi punca kepada kepincangan sistem demokrasi di negara ini kerana telah memisahkan agama dan politik dalam pentadbiran negara.

Tegasnya, dua aspek terbabit sepatutnya menjadi tunjang utama dalam sesuatu pemerintahan bukannya berpaksikan kepada semangat nasionalisme semata-mata yang sentiasa diperjuangkan Umno-BN dengan menjadikan bangsa Melayu sebagai rujukan utama dalam politik negara.

Kata Menteri Besar Kelantan ini, meskipun al-Quran hanya menyebut Islam sebagai kaedah terbaik untuk memimpin manusia, namun ia tidak bermakna Islam menolak sepenuhnya sistem pemerintahan yang dicipta manusia seperti demokrasi, asalkan ia tidak bercanggah dan bertentangan dengan ajaran Islam.

“Mereka acap kali junjung semangat nasionalis tapi dia ingat hanya Melayu saja.

“... begitu juga penyakit rohani Umno yang kian jadi kronik kerana pecahkan dua aspek pemerintahan di negara ini, hak ALLAH beri kepada ALLAH (agama) dan hak kaisar (politik) beri kepada kaisar,” katanya pada forum Bicara Cinta Tok Guru Datuk Nik
Abdul Aziz Nik Mat di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Nik Aziz menggesa pemimpin Umno-BN supaya kembali kepada ajaran Islam yang sebenar tanpa memisahkan antara agama dan politik kerana dua faktor terbabit saling memerlukan jika mahukan pentadbiran negara yang adil lagi saksama.

Sumber - Sinar

Thursday, 28 March 2013

Kepimpinan Nik Aziz Masih Lagi Relevan??? Apa Kata Anda?


Keputusan Pas Pusat membuktikan kepimpinan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat masih relevan untuk menerajui parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang.

Sehubungan itu, Pas Kelantan akan terus memberikan sokongan kepada Nik Aziz disebabkan kepimpinannya yang berkaliber dan berkarisma selaras dengan kehendak rakyat negara ini.

Exconya, Wan Ubaidah Omar berkata, walaupun pelbagai tohmahan dilemparkan kepada Menteri Besar itu, namun semangat ditunjukkan penyokong lebih menguatkan lagi keazaman ulama tertinggi Pas tersebut.

 “Secara peribadi memang kita nak Tok Guru (gelaran bagi Nik Abdul Aziz) berehat, tetapi oleh sebab rakyat seluruh Malaysia masih mahukan kepimpinan, karisma dan barokah beliau, kita tidak boleh menghalang, tambahan pula keputusan dibuat kepimpinan tertinggi parti,” katanya kepada media di sini.

Menurutnya, spekulasi mendakwa Nik Aziz tidak mampu menjalankan tanggungjawab atas faktor usia dan kesihatan bukan satu alasan untuk menghalang pemimpin berkenaan berkhidmat kepada parti dan negeri.

“Insya-Allah sebab kalau bekas pengasas Pertubuhan Palestin Hamas, Allahyarham Sheikh Ahmad Yassin mampu mentadbir daripada kerusi roda, jadi tidak mustahil untuk Tok Guru melakukannya, tambahan beliau (Tok Guru) tak berkerusi roda lagi, dan kalau melibatkan urusan penting, kita ada timbalan dan pegawai- pegawai yang seharusnya boleh menjalankan tugas dan tanggungjawab itu,” katanya.

Beliau yang juga Adun Kijang berkata, jika tidak berkeupayaan, mungkin pimpinan tertinggi itu boleh bertindak sebagai pemikir, pengarah dan pembuat dasar-dasar yang boleh dilaksanakan pegawai-pegawai.
Sumber