Tuesday, 30 April 2013

Proses Undi Pos berjalan Lancar - Najib Gembira!


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak puas hati proses pengundian pos berjalan lancar apabila lebih 50 peratus rakyat Malaysia yang berdaftar sebagai pengundi pos sudah mengundi. 
 
"(Saya) gembira melihat pengenalan kita kepada pengundian pos di luar negara berjalan lancar, (memandangkan) lebih 50 peratus undi pos telah dilakukan untuk pilihan raya umum ke-13," katanya dalam tweet terbarunya hari ini, lapor Bernama. 
 
Buat pertama kali, Suruhanjaya Pilihan Raya memperkenal undi pos bagi rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara untuk pilihan raya umum. 
 
Pengundian secara pos di luar negara dijalankan semalam (28 April), menyaksikan lebih 50 peratus rakyat Malaysia mengundi di beberapa negara termasuk Australia, India, United Kingdom, New Zealand dan China. 
 
Seramai 6,339 pengundi pos boleh mengundi di 103 perwakilan negara di seluruh dunia. 
 
Pengundian secara pos meliputi semua negara kecuali rakyat Malaysia yang tinggal di Singapura, selatan Thailand, Brunei dan Kalimantan di Indonesia.

Monday, 29 April 2013

Tindakan Tegas Pihak Beli, Jual Kertas Undi - SPR


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memandang serius dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya mendapati ada pihak terlibat dengan kegiatan membeli atau menjual kertas undi.

Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata individu yang melakukan kesalahan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, yang boleh dikenakan hukuman maksimum penjara dua tahun atau didenda lima ibu ringgit atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Menurut Kamaruddin orang yang disabitkan itu juga tidak boleh didaftarkan atau disenaraikan sebagai pemilih atau pengundi dalam mana-mana pilihan raya sehingga tamat tempoh lima tahun dari tarikh sabitan.

"Jika pada tarikh itu, dia telah pun dipilih dalam mana-mana pilihan raya, kerusinya hendaklah dikosongkan dari tarikh sabitan itu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kamaruddin berkata terdapat pihak membangkitkan isu kemungkinan berlaku urusan pembelian kertas undi oleh sindiket tertentu dengan harga antara RM500 dan RM1,000, bergantung kepada tempat mengundi.

Perkara sama juga didakwa pernah berlaku pada pilihan raya sebelum ini. 

"Berdasarkan semakan SPR terhadap kes-kes petisyen pilihan raya yang merujuk kepada Pilihan Raya Umum Ke-12, SPR mendapati tidak ada satu pun petisyen pilihan raya dikemukakan mana-mana pihak berkaitan isu pembelian kertas undi," katanya.

"Ini bermakna, perkara itu sekadar dakwaan yang tidak ada bukti dan kebenarannya boleh dipersoalkan," tambahnya.

Menurut Kamaruddin tindakan mengikut akta sama boleh dikenakan kepada mereka yang didapati melakukan kesalahan berikut; memasukkan ke dalam mana-mana peti undi apa-apa jua kertas, selain kertas undi yang dibenarkan oleh undang-undang; tanpa kuasa sewajarnya, membawa keluar dari tempat mengundi sebarang kertas undi atau didapati memiliki mana-mana kerta undi di luar sesuatu tempat mengundi. - Bernama

Sedia Bela Che Johan - Tun M


Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan kesediaannya membela Che Johan Che Pa jika beliau dibicarakan oleh Lembaga Disiplin Umno kerana tidak menyerahkan borangnya sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Pasir Mas pada hari penamaan calon, 20 April lepas.

Bekas perdana menteri itu berkata beliau sedia berbuat demikian kerana mengagumi pengorbanan dan perjuangan Che Johan bagi mengelakkan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Bebas dan Pas, yang boleh menyebabkan kerusi itu jatuh ke tangan pembangkang.

"Saya lawyer yang tidak ada kelulusan tapi kalau nak argue boleh juga. Saya berpendapat bahawa bukan sahaja dia (Che Johan) tidak salah, bahkan saya hendak tengok lebih ramai orang lagi berkorban demi kebaikan parti bukan untuk diri sendiri," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra di perkarangan rumah Che Johan di sini hari ini.

Pilihan raya umum Ahad ini akan menyaksikan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Datuk Ibrahim Ali, yang mempertahankan kerusi Parlimen Pasir Mas atas tiket Bebas, dicabar Timbalan Ketua Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Terdahulu, dalam ucapannya di hadapan kira-kira 500 penduduk, Dr Mahathir berkata ramai yang kecewa kerana tidak terpilih menjadi calon dan terus melupakan jasa parti serta membuat tindakan tidak bertanggungjawab.   

Sebaliknya, Che Johan masih meneruskan usaha untuk memastikan kerusi parlimen Pasir Mas tidak terlepas ke tangan Pas, katanya.

"Apa yang kita tengok sekarang ini, banyak yang berkorban demi kepentingan diri sendiri. Tidak dapat satu, mereka korbankan semuanya," katanya.

Turut hadir pada majlis itu isteri beliau Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Ibrahim serta calon-calon BN bagi Dun Tendong Datuk Hanapi Mamat, Dun Pengkalan Pasir Tuan Anuwa Tuan Mat dan Dun Chetok Aimi Jusoh. - Bernama

Kita jangka BN Akan Terus Kekal, Jumlah Kerusi Agak Menggalakkan - Muhyiddin


Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin Barisan Nasional (BN) akan memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) berdasarkan petanda baik sokongan rakyat terhadap parti itu pada masa ini.

Beliau berkata jentera BN di seluruh negara kini bergerak dengan lancar dan usaha kempen yang dijalankan menerima sokongan yang jelas daripada pengundi.

"Sokongan bertambah baik, meningkat...masalah-masalah yang dikatakan awal berlaku dari segi soal calon dah selesai, jentera dah bergerak, saya dah pergi hampir kesemua negeri, saya lihat respons daripada usaha-usaha kempen yang kita buat mendapat sokongan yang begitu jelas daripada pengundi.

"Kita jangkakan BN akan terus kekal dengan jumlah kerusi yang boleh dikatakan agak menggalakkan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan pembinaan jejantas pejalan kaki di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Wen Hua di sini, hari ini.

Malah, katanya, kawasan yang mempunyai majoriti kaum Cina juga telah menunjukkan peningkatan sokongan terhadap BN.

"Di kawasan-kawasan orang Cina juga sudah ada peningkatan sokongan berbanding seminggu lalu jadi trend ini memberikan kelebihan kepada kita," katanya.

Sumber - SINARHARIAN

Sunday, 28 April 2013

Tinjauan Umcedel : Najib Tidak Setuju, Yakin BN Menang PRU13

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyifatkan sebagai karut satu tinjauan oleh Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel), dan menegaskan beliau yakin Barisan Nasional (BN) berada di laluan untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).  

Najib berkata beliau tidak setuju dengan kajian Umcedel itu yang menunjukkan beliau berada empat mata di belakang penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri.

"Saya tidak setuju dengan tinjauan itu (oleh Umcedel). Kami ada tinjauan kami sendiri. Tinjauan saya menunjukkan kami (BN) berada di hadapan.

"Saya yakin kita boleh memenangi PRU13," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan penduduk Kampung Baru Sungai Terentang di sini hari ini.

Najib mengulas tinjauan itu dibuat awal April melibatkan 1,407 responden yang tinggal di Semenanjung Malaysia.

Tinjauan itu menunjukkan 43 peratus pengundi berpendapat Anwar layak jadi perdana menteri sementara 24 peratus tidak setuju dan selebihnya tidak pasti.

Sementara bagi Najib, 39 peratus pengundi berkata beliau layak menjadi perdana menteri sementara 31 peratus tidak setuju dan 30 peratus selebihnya tidak pasti. - Bernama