Showing posts with label NAJIB. Show all posts
Showing posts with label NAJIB. Show all posts

Thursday, 2 May 2013

Jangan Pandang Rendah Isu Keselamatan Negara - Najib


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sekali lagi mengulangi kenyataannya bahawa soal keselamatan dan kedaulatan negara tidak seharusnya dipandang remeh dan diperlekeh walaupun negara bebas daripada ancaman musuh sejak mencapai kemerdekaan.

Beliau berkata tanpa keselamatan dan keamanan Malaysia tidak akan dapat mencapai kemajuan dan melaksanakan segala dasar pembangunan untuk rakyat.
"Soal keselamatan, kedaulatan amat penting... ia ibu kepada segalanya, kerana tanpa keselamatan segalanya tidak mungkin dapat dilakukan," katanya ketika berucap pada majlis bersama RELA Terengganu yang dihadiri kira-kira 5,000 anggota RELA dari seluruh Terengganu di Taman Tamadun Islam di sini hari ini
Najib berkata insiden Lahad Datu di Sabah membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah memandang remeh soal kedaulatan negara walaupun ada pihak yang cuba menafikan usaha pasukan keselamatan untuk mempertahankan negara daripada musuh negara.

Menurutnya jauh sekali untuk menyokong usaha anggota keselamatan yang berkorban nyawa untuk negara sebaliknya pemimpin pakatan PKR-DAP-PAS mendakwa apa yang berlaku itu sebagai satu sandiwara BN.

Beliau berkata sampai hari ini pihak pakatan rakyat juga gagal untuk menjelaskan kepada rakyat apa agenda di sebalik pertemuan empat mata antara pemimpin utama pembangkang dengan pemimpin yang tidak senang hati dengan usaha Malaysia di Selatan Filipina.

"Rakyat wajib tahu apa agenda sebalik pertemuan itu," katanya.
Dalam pada itu, Najib melahirkan rasa bangga dengan semangat anggota RELA di seluruh negara yang menyokong penuh dasar tranformasi kerajaan termasuk dalam institusi RELA.

Katanya langkah kerajaan menaikkan elaun anggota RELA di seluruh negara turut meningkatkan lagi semangat anggota pasukan itu untuk melaksanakan tugas dengan bersungguh-sungguh.

Najib berkata sejak mengambil alih tampuk kepimpinan negara tahun 2009 banyak tranformasi dilakukan dalam institusi RELA sehingga berjaya menarik 2.86 juta anggota hari ini berbanding hanya 540,000 anggota pada tahun 2009 iaitu meningkat 500 peratus.

"Kerajaan telah memperuntukkan 300,000 uniform untuk RELA dan akan menambah peruntukan akan datang sekiranya kerajaan kekal dan saya tahu walaupun saudara saudari memakai baju hijau dan topi kuning, namun hati mereka tetap biru," katanya.
Sumber

Tuesday, 30 April 2013

Pembangkang Tidak Layak Dapat Peluang Kedua - Najib

Pembangkang tidak boleh bermegah dan berbangga dengan usaha membela rakyat versi mereka kerana dalam tempoh limatahun lepas, 'pakatan' itu hanya melaksanakan 15 peratus daripada janji mereka dalam manifesto pilihan raya umum 2008, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
    
Perdana menteri menegaskan bahawa pembangkang yang merangkumi PAS, DAP dan PKR hanya pandai menabur janji tetapi gagal menunaikannya termasuk di negeri-negeri yang dikuasai mereka seperti Kedah.
    
Justeru, beliau berkata sudah tiba masanya bagi rakyat di seluruh negara menolak pembangkang pada pilihan raya umum ke-13, Ahad ini.
    
"Pada 2008, kita (rakyat) termakan dengan janji (pembangkang), takkan kita nak termakan lagi dengan janji mereka (kali ini). Takkan kita nak bagi peluang serta ruang kedua kepada mereka," katanya ketika berucap merasmikan Sekolah Kebangsaan Taman Awana di Pokok Sena dekat sini hari ini.
    
Turut hadir isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah dan calon Barisan Nasional (BN) kerusi parlimen Pokok Sena, Datuk Shahlan Ismail.

Ini berbeza dengan BN yang mampu melaksanakan janji, kata Najib sambil menegaskan bahawa gabungan itu akan terus mengotakan janji apabila diberi kepercayaan mentadbir di peringkat nasional dan negeri.
    
Perdana menteri berkata oleh sebab itu jugalah BN menggunakan terma 'aku janji' kerana parti itu akan menunaikan apa yang dijanjikan kepada rakyat.
    
"Pembangkang kata manifesto bukan janji...kalau bukan manifesto kenapa bentang manifesto, buat habis beras sahaja. Sebab itu, kita (BN) tidak hanya pakai (guna) manifesto kerana pembangkang sudah cemar (perkataan) manifesto.
    
"Kita pakai aku janji...janji kepada manusia dan lebih tinggi lagi janji kita diadili Allah. Sebab itu saya kata hari ini lebih baik daripada semalam, hari esok akan penuh dengan harapan dan sinaran," katanya.
    
Najib memberi komitmen bahawa kerajaan BN akan terus membawa rakyat Malaysia kepada masa depan yang jauh lebih baik jika ia terus diberi mandat memimpin negara.

Najib berkata pelbagai inisiatif yang diperkenal kerajaan BN seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) ialah bukti kepada pencapaian parti itu dalam menunaikan janji dan membawa kemajuan kepada rakyat.
    
Beliau berkata inisiatif itu memperlihatkan bahawa program transformasi nasional yang diperkenal kerajaan BN lebih baik daripada 'laungan reformasi' yang dibawa pembangkang.
    
Perdana menteri berkata rakyat sudah sedar bahawa 'reformasi' hanya dikaitkan, antaranya dengan demonstrasi jalanan yang tidak memberi apa-apa makna menyebabkan 'laungan' itu tidak lagi mendapat sambutan sekarang.
    
Beliau berkata sebelum ini kerajaan BN ada melakukan kesilapan tetapi  telah belajar dan tidak akan mengulanginya dalam membela rakyat dan membawa pembaharuan kepada negara.
    
Bagi memastikan Malaysia terus maju dan berjaya, Najib menjelaskan rakyat perlu memilih individu yang mempunyai wawasan untuk negara.

"Bukan setakat ada wawasan tetapi perancangan yang teliti dan sistematik. Pilih juga orang yang mampu laksana pembaharuan. Bukan orang yang buat janji kosong," kata Najib.
    
Dalam pada itu, beliau berkata pembinaan sekolah di seluruh negara serta penyediaan sukatan pelajaran dilakukan kerajaan bertujuan mendidik anak-anak supaya menjadi insan berguna.
    
"Kita bina sekolah supaya anak-anak ada akhlak yang baik, ikut undang-undang, hormat orang tua, orang seagama dan bukan Islam...bukan memaki hamun yang boleh merosakkan nilai masyarakat.
    
"Sebuah negara (menjadi) maju bukan dengan adanya bangunan-bangunan tetapi (warganya) ada akhlak yang baik. Sebab itu kita nak lakukan transformasi," katanya.
    
Najib menarik perhatian bukti kerajaan BN melakukan transformasi kepada negara adalah melalui pembinaan sekolah yang 'indah', malah daripada pemerhatiannya, sesetengah sekolah di Malaysia dianggap seperti universiti oleh banyak negara sedang membangun lain.

SK Taman Awana dibina dalam Rancangan Malaysia Ke-10 dengan kos RM13.2 juta dan mula beroperasi pada 2009.
    
Sekolah yang mempunyai empat blok itu dibangunkan di kawasan seluas 4.32 hektar di Mukim Hutan Kampung dalam daerah Kota Setar. - Bernama

Proses Undi Pos berjalan Lancar - Najib Gembira!


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak puas hati proses pengundian pos berjalan lancar apabila lebih 50 peratus rakyat Malaysia yang berdaftar sebagai pengundi pos sudah mengundi. 
 
"(Saya) gembira melihat pengenalan kita kepada pengundian pos di luar negara berjalan lancar, (memandangkan) lebih 50 peratus undi pos telah dilakukan untuk pilihan raya umum ke-13," katanya dalam tweet terbarunya hari ini, lapor Bernama. 
 
Buat pertama kali, Suruhanjaya Pilihan Raya memperkenal undi pos bagi rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara untuk pilihan raya umum. 
 
Pengundian secara pos di luar negara dijalankan semalam (28 April), menyaksikan lebih 50 peratus rakyat Malaysia mengundi di beberapa negara termasuk Australia, India, United Kingdom, New Zealand dan China. 
 
Seramai 6,339 pengundi pos boleh mengundi di 103 perwakilan negara di seluruh dunia. 
 
Pengundian secara pos meliputi semua negara kecuali rakyat Malaysia yang tinggal di Singapura, selatan Thailand, Brunei dan Kalimantan di Indonesia.

Sunday, 28 April 2013

Tinjauan Umcedel : Najib Tidak Setuju, Yakin BN Menang PRU13

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyifatkan sebagai karut satu tinjauan oleh Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel), dan menegaskan beliau yakin Barisan Nasional (BN) berada di laluan untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).  

Najib berkata beliau tidak setuju dengan kajian Umcedel itu yang menunjukkan beliau berada empat mata di belakang penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri.

"Saya tidak setuju dengan tinjauan itu (oleh Umcedel). Kami ada tinjauan kami sendiri. Tinjauan saya menunjukkan kami (BN) berada di hadapan.

"Saya yakin kita boleh memenangi PRU13," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan penduduk Kampung Baru Sungai Terentang di sini hari ini.

Najib mengulas tinjauan itu dibuat awal April melibatkan 1,407 responden yang tinggal di Semenanjung Malaysia.

Tinjauan itu menunjukkan 43 peratus pengundi berpendapat Anwar layak jadi perdana menteri sementara 24 peratus tidak setuju dan selebihnya tidak pasti.

Sementara bagi Najib, 39 peratus pengundi berkata beliau layak menjadi perdana menteri sementara 31 peratus tidak setuju dan 30 peratus selebihnya tidak pasti. - Bernama

SWP Bukan Parti Mesra BN - Najib


Barisan Nasional tidak pernah merestui tindakan Parti Pekerja Sarawak (SWP) untuk bertanding di kawasan Parlimen Lubok Antu sebagai calon mesra BN, kata Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurut Najib, berkata dakwaan parti itu yang meletakkan presiden mereka, Larry Sng, sebagai calon mesra BN di kawasan parlimen adalah tidak benar sama sekali.
"Saya nak confirm bahawa William Nyalau Anak Badak adalah calon kita (Barisan Nasional). Tidak ada calon lain. Dia calon saya. Kalau ada orang lain (calon SWP) claim mereka calon mesra BN, ini tidak benar," katanya semasa berucap dalam majlis mesra bersama rakyat di Rumah Panjang Awing, Merindun, di sini Sabtu.
Katanya tindakan SWP untuk bertanding di kawasan parlimen ini nyata sekali tidak menggambarkan dakwaan mereka sebagai parti yang mesra BN.
"Kalau benar-benar mereka ini friendly BN, tak kanlah mereka hendak melawan BN pula," katanya.
Najib berkata sokongan padu rakyat di sini terhadap William Nyalau sebagai calon BN Parlimen Lubok Antu juga akan menjadi sumbangan kepada beliau untuk terus menerajui kepimpinan negara sebagai perdana menteri.
"Kalau anda pilih SWP bererti anda tidak mengundi saya. Mereka (SWP) tidak menyumbang kepada saya untuk terus menjadi perdana menteri. Kalau anda mengundi PKR, anda hanya akan menyumbang kepada (Datuk Seri) Anwar Ibrahim," katanya.
William Nyalau yang merupakan penyandang kerusi parlimen Lubok Antu akan turut ditentang calon PKR Nicholas Bawin.
Najib berkata taktik SWP untuk menggunakan wang ringgit untuk meraih undi di kalangan masyarakat di Lubok Antu yang sebahagian besarnya terdiri daripada kaum Iban menunjukkan parti pembangkang itu cuba merendah-rendahkan maruah diri masyarakat di sini.
"Kalau kita undi dia (Larry Sng), kita (pengundi) akan hilang maruah dan nilai diri. Masyarakat Iban perlu terus mempertahankan nilai dan maruah diri mereka," katanya.
Mengenai masalah pembangunan di Lubok Antu yang disuarakan William Nyalau ketika berucap sebelum itu, Najib berkata beliau bersetuju untuk memasukkannya sebagai sebahagian daripada agenda aku janji BN untuk dilaksanakan selepas memenangi pilihan raya ini.
Masalah pembangunan itu termasuklah ketiadaan jalan perhubungan yang baik melibatkan penduduk di sekitar kawasan Ulu Lemanak dan Ulu Engkari serta keadaan bangunan uzur di hospital daerah Lubok Antu dan Engkelili.
Najib berkata rakyat di kawasan luar bandar seperti di Lubok Antu perlu terus memberikan mandat kepada BN bagi membolehkan agenda transformasi luar bandar diteruskan yang bakal meningkatkan taraf hidup mereka.
"Kita (rakyat) memerlukan sebuah kerajaan yang kuat dan stabil untuk meneruskan agenda besar ini. Pembangkang tidak akan dapat menjamin pembangunan luar bandar. Hanya Barisan Nasional dapat menjamin pembangunan yang berterusan," katanya.
Sejurus tiba di rumah panjang itu, Najib yang diiringi Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu, Menteri Pembangunan Tanah negeri Tan Sri Dr James Jemut Masing dan Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg disambut kira-kira 5,000 penduduk setempat.

Monday, 22 April 2013

'Pakatan' Rakyat Gagal Berpakat - Najib


Datuk Seri Najib Tun Razak berkata parti pembangkang yang kononnya mendakwa mereka adalah "pakatan" rakyat sebenarnya gagal berpakat, malah bertanding sesama sendiri di beberapa kawasan pilihan raya umum ke-13 yang akan diadakan pada 5 Mei ini.
 
Perdana Menteri berkata jika untuk bertanding kerusi pilihan raya pun gagal berpakat, "apatah lagi untuk berpakat bagi mengendalikan pemerintahan negara."
 
"Pakatan pembangkang bukanlah satu gabungan yang boleh menjamin masa depan negara dan rakyat. Mereka bukanlah gabungan yang besar, gabungan yang satu, falsafah yang satu.
 
"Ranap negara kita kalau kita beri kepercayaan kepada pihak pembangkang," katanya ketika berucap merasmikan projek perumahan " Sentuhan Kasih Felda" di Felda Chini Timur 2, dekat sini hari ini,lapor Bernama.
 
Najib berkata rakyat perlu bijak menilai pakatan pembangkang kerana mereka tidak melakukan apa-apa pun untuk rakyat.
 
Jika rakyat mahukan perubahan, kerajaan Barisan Nasional (BN) sebenarnya telah banyak melakukan perubahan untuk kesejahteraan rakyat, katanya.
 
"BN pun hendak perubahan, perubahan dari dalam. Kerajaan BN tunjukkan bahawa perubahan dan transformasi dilakukan dari dalam, tak semestinya ubah kerajaan tapi masa depan kita yang berubah (menerusi program transformasi kerajaan BN)," katanya.
 
Penamaan calon pada Sabtu , calon parti PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR)telah bertanding di kerusi yang sama di Parlimen Labuan dan enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Panti (Johor), Sg Acheh (P.Pinang), Kota Damansara (Selangor), Bukit Besi, Kota Putera dan Seberang Takir (Terengganu).
 
Bagi BN, yang mempunyai 13 parti politik yang bergabung dengannya, masalah pembahagian kerusi telah diselesaikan dengan sebaiknya tanpa berlaku pertindihan.
 
Hanya segelintir kecil anggota parti politik gabungan parti itu yang telah keluar parti untuk bertanding sebagai calon bebas, antaranya anggota veteran yang enggan memberi laluan kepada muka baru.
 
Antara yang keluar bertanding sebagai calon bebas ialah bekas anggota Parlimen Tasek Gelugor Datuk Seri Shariff Omar yang bertanding di kerusi Parlimen yang sama dan DUN Sungai Dua, bekas exco kerajaan negeri Fadzil Hanafi bertanding kerusi DUN Alor Mengkudu dan bekas naib ketua wanita Umno Datuk Kamilia Ibrahim di Parlimen Kuala Kangsar.
 
Anggota parti pakatan pembangkang juga ramai yang turut keluar parti dan menjadi calon bebas, termasuk penyandang kerusi Parlimen dan DUN yang tidak berpuas hati mereka tidak dicalonkan.
 
Dua daripada mereka anggota DAP iaitu Jenice Lee Ying Ha penyandang kerusi DUN Teratai dan penyandang kerusi Parlimen Kota Melaka Sim Tong Him.
 
Mengenai Felda, Najib berkata kerajaan BN akan melakukan pendekatan lebih sistematik bagi membawa perubahan besar kepada warga peneroka di negara ini, di mana bagi fasa kedua untuk 50 tahun akan datang, ia akan memfokuskan kepada usaha menjadikan Felda sebagai sebuah organisasai bertaraf antarabangsa.
 
"Usaha kita adalah untuk membawa perubahan besar menerusi program transformasi yang menggunakan teknologi baru, penduduk setempat boleh menggunakan teknologi baharu untuk menghasilkan produk tempatan dan tradisional untuk pasaran," katanya.
 
Di bawah projek 'Sentuhan Kasih Felda' ini, sebanyak 100 unit rumah akan dibina untuk generasi baru Felda, dan setiap rumah dengan keluasan 304.80 meter persegi itu turut diberi subsidi kerajaan dengan pemilik rumah hanya perlu membayar antara RM75,000 hingga RM85,000 bagi seunit rumah berkenaan.
 
Felda turut menyediakan pelbagai kemudahan dan rekreasi serta pusat latihan dan pembelajaran di kawasan perumahan itu.

Sunday, 21 April 2013

55 Tahun BN Bawa Keamanan & Keharmonian - Najib

Barisan Nasional (BN) telah membawa keamanan dan keharmonian di negara ini selama 55 tahun lepas, dengan itu tidak perlu menukar kerajaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata negara di bawah pemerintahan kerajaan BN telah berdepan pelbagai cabaran di masa lalu seperti memerangi komunis dan konfrontasi, namun berupaya menanganinya untuk membawa keamanan, keharmonian dan kestabilan di negara ini.

"Bulan lepas kita berdepan dengan pengganas yang mendarat di Lahad Datu dan kita memerangi mereka untuk memastikan keamanan pulih di Sabah.

"Inilah jenis kerajaan yang kita mahu, kerajaan yang bersedia dan berupaya memastikan keamanan dan keharmonian di negara ini," katanya ketika berucap di hadapan lebih 60,000 orang yang menghadiri 'Majlis Ramah Mesra Bersama PM' di perkarangan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Westport, di sini Sabtu malam.

Oleh yang demikian, Perdana Menteri mempersoalkan motif pihak tertentu yang berkeras mahu membawa perubahan di negara ini sedangkan kerajaan sedia ada mampu membawa perubahan daripada segi politik, ekonomi dan sosial.

"Ahli politik tertentu bercakap mengenai 'Ubah', tetapi apa yang nak diubah?...

"Anda mahu ubah keamanan dan keharmonian negara dengan konflik dan keganasan? Adakah itu yang anda mahu?," tanya beliau.

Oleh itu, katanya sebagai Perdana Menteri yang mahu mendapatkan mandat baharu, beliau berikrar untuk memulihara keamanan dan keharmonian di negara ini.

Najib berkata jika perubahan yang dicari rakyat, itulah juga yang sedang dilakukan oleh kerajaan menerusi pelbagai program transformasi termasuk Program Transformasi Ekonomi dan Program Transformasi Kerajaan.

Menegaskan bahawa pelbagai program transformasi untuk membawa perubahan di negara ini tidak sama seperti 'Arab Spring' yang tersalah kira, Najib berkata transformasi yang dibawa kerajaan distruktur dan dirancang dengan baik dan sistematik untuk memastikan perubahan berlaku secara tersusun.

"Jika anda cuba bawa perubahan secara drastik dan radikal dalam tempoh semalaman, anda tidak akan dapat hasil seperti yang anda inginkan," katanya.

Kepada masyarakat Cina, Najib berkata kerajaan telah melakukan amat banyak daripada sebelumnya terutama dalam bidang pendidikan.

Beliau berkata di samping membenarkan pembinaan Sekolah Menengah Chong Hwa Kuantan di Pahang, kerajaan juga menempatkan semula 71 buah sekolah Cina ke tapak baharu.

Kerajaan juga akan terus memperuntukkan RM100 juta setahun untuk sekolah-sekolah Cina.

"Kerajaan juga sedang berbincang dengan Dong Zhong mengenai sijil UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu)," katanya.
Sumber

Friday, 19 April 2013

Golongan Tidak Tepati Janji adalah Munafik - Najib


alt

SHAH ALAM 18 April - Sikap tidak cekap dan abai tanggungjawab kerajaan negeri Selangor di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) yang tidak menepati janji disifatkan sebagai antara ciri-ciri orang munafik.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, rakyat dilihat semakin bosan dengan janji kosong PR.

"Oleh itu, sudah cukuplah, kita sudah serik dengan janji kosong. Orang yang mungkir janji ini adalah sebahagian ciri-ciri orang yang munafik," katanya.
alt

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika melancarkan manifesto atau Aku Janji Barisan Nasional (BN) negeri Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) malam tadi.

Turut hadir Timbalan Pengerusi BN Selangor Datuk Seri Noh Omar, Timbalan Pengarah Pilihanraya BN Selangor Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed, Ketua-ketua parti komponen BN dan Calon-Calon BN untuk PRU13.

Aku Janji yang mengandungi 7 bidang strategi utama itu merangkumi 56 perkara. [BUTIRAN DI SINI]
alt

Sementara itu, Najib yang juga merupakan Pengerusi BN Selangor turut mempersoalkan berhubung manifesto yang didakwa sebagai bukan janji.

"Jika manifsto itu bukan janji, saya nak tanya apa guna bentang manifesto kepada rakyat? Saya nak tanya dan kemukakan apakah rakyat Selangor mengecapi janji yang dibuat Pakatan Rakyat, kerajaan negeri Selangor selama 5 tahun ini?

"Kalau manifesto (PR) dahulu (PRU12) janjikan perlindungan alam sekitar bagi mengelak bencana tanah runtuh dan banjir, apa yang kita saksikan, kejadian curi pasir semakin berleluasa tanpa kawalan, apakah ia melindungi alam sekitar?," soalnya.

Najib turut membidas janji PR berkenaan pemberian air percuma di Selangor yang gagal dilaksanakan secara menyeluruh kepada rakyat di negeri itu malah masalah bekalan air juga semakin kronik.

Katanya, ia merupakan perkara serius yang melibatkan pertumbuhan ekonomi.

"Jangan cakap tentang air percuma, bagaimana dengan masalah bekalan air di Selangor ini. Satu perkara yang amat serius yang akan merosakkan bukan sahaja pertumbuhan ekonomi di Selangor (bahkan) Wilayah Persekutuan," katanya.
alt

Jelas beliau, 60 peratus daripada pelan tranformasi negara (GTP) adalah melibatkan kawasan di Lembah Klang.

"Potensi Malaysia untuk menjadi negara maju juga bergantung kepada kejayaan BN membangunkan negeri Selangor.

"Banyak perkara yang amat penting untuk kita perlu tentukan pada PRU13 ini. Bukan soal negeri Selangor sahaja, Kita nak menang di Selangor bukan untuk rakyat Selangor, untuk negara Malaysia," jelas beliau.

Dalam pada itu, Najib berkata, pentadbiran kerajaan BN yang menepati janji turut diakui ramai pihak malah dikagumi negara luar kerana bukan sahaja memberi percambahan ekonomi tetapi juga keyakinan rakyat.

"Kerajaan pusat menunaikan janji, tidak boleh dipertikaikan lagi. Semua orang akui malah para penganalisa, politik dan ekonomi mengakui bahawa kerajaan BN telah membawa perubahan besar berdasarkan kepada dasar transformasi nasional.

"Ekomoni kita berkembang lebih pesat, menambah keyakinan kepada rakyat, kekayaan negara turut meningkat dengan kadar yang dikagumi dunia," ujarnya.

Oleh yang demikian, beliau mengharapkan rakyat Selangor terutamanya supaya mengambil iktibar dengan apa yang berlaku pada PRU12 lalu sambil memberi kepercayaan kepada BN dalam mentadbir negeri itu, seiring dengan slogan 'Sayangi Selangor, Yakini BN'.

"Aku Janji ini adalah untuk masa depan yang lebih baik untuk Selangor. Kita akan lakukan teras utama masa depan yang lebih cerah. Biarlah kerajaan Pakatan Rakyat gagal tetapi kerajaan BN insyallah kita akan tunaikan (janji)," tegasnya.
Sumber - KLPOS

Thursday, 28 March 2013

Najib Jumpa Pengerusi BN Negeri, Tingkat Spekulasi PRU13



Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini bertemu beberapa pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri di pejabatnya di Kompleks Perdana Putra di sini, meningkatkan lagi bahang spekulasi pilihan raya umum ke-13 semakin hampir.
  
Perjumpaan itu dipercayai membincangkan senarai calon BN yang akan bertanding di setiap negeri dan persiapan mutakhir mereka.
  
Kelihatan memasuki perkarangan kompleks itu ialah Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
  
Timbalan Pengerusi BN Selangor Datuk Seri Noh Omar dan anggota Parlimen Sepang Datuk Seri Mohd Zin Mohamed yang juga Timbalan Pengarah Pilihan Raya BN Selangor juga dilihat hadir.
  
Turut sama ialah Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
  
Bagaimanapun, tiada seorang pun daripada mereka yang hadir sedia berhenti untuk ditemu bual petugas media yang berkumpul menunggu mereka di hadapan pejabat Perdana Menteri di sini seawal 9.30 pagi.

Demam PRU13 semakin hangat apabila Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan terbubar secara automatik tengah malam tadi.
  
Esok, perdana menteri dijangka akan mengadakan perjumpaan dengan presiden parti-parti komponen BN.
  
BN terdiri daripada 13 parti komponen -- Umno, MCA, MIC, Gerakan, PPP, PBB, SUPP, PRS, SPDP, PBS, PBRS, UPKO dan LDP.
  
Tempoh lima tahun mandat Dewan Rakyat akan berakhir 30 April dan akan terbubar secara automatik jika tidak dilakukan lebih awal. - Bernama

Saturday, 26 January 2013

Lawatan Najib Ke Bumi Gaza Kurang Bijak - Anwar


Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melawat ke bumi Gaza Rabu lalu disifatkan "kurang bijak" oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana gagal untuk mengiktiraf pergerakkan Fatah dan pemimpinnya Mahmoud Abbas.

Ketua pembangkang itu turut membandingkan kesilapan Perdana Menteri terhadap Fatah dengan Presiden Mesir, Mohammaed Morsi dan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdorgan yang mengiktiraf kedua-dua Hamas dan Fatah.

“Najib sememangnya kurang bijak oleh kerana beliau sepatutnya menghubungi kedua-duanya,” katanya kepada pemberita merujuk kepada Abbas dan pemimpin Hamas Ismail Haniyeh.



Wednesday, 7 November 2012

Tanding di Pekan Jika Benar Anwar Anak Jantan!


Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee mencabar Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding menentang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di kawasan Parlimen Pekan pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.

"Saya cabar Anwar menentang Najib di Pekan, kita nak tengok setakat mana kemampuan dan keberanian beliau membohongi rakyat Pahang dengan pelbagai isu fitnah," katanya.

Dipetik menerusi laman web Umno Cheras, Syed Ali berkata, sepatutnya Anwar sendiri yang mencabar Najib jika beliau benar-benar 'anak jantan' dan bukannya mencadangkan pemimpin pembangkang lain.

Semalam, Anwar mencabar Najib menentang penyandang kerusi Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul hadi Awang yang juga merangkap Presiden Pas.

"Jika Anwar anak jantan dan bukannya pengecut, saya cabar beliau bertanding sama ada di kerusi Parlimen Pekan atau pun di Marang (Terengganu)," ujarnya.