Sunday 21 April 2013

55 Tahun BN Bawa Keamanan & Keharmonian - Najib

Barisan Nasional (BN) telah membawa keamanan dan keharmonian di negara ini selama 55 tahun lepas, dengan itu tidak perlu menukar kerajaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata negara di bawah pemerintahan kerajaan BN telah berdepan pelbagai cabaran di masa lalu seperti memerangi komunis dan konfrontasi, namun berupaya menanganinya untuk membawa keamanan, keharmonian dan kestabilan di negara ini.

"Bulan lepas kita berdepan dengan pengganas yang mendarat di Lahad Datu dan kita memerangi mereka untuk memastikan keamanan pulih di Sabah.

"Inilah jenis kerajaan yang kita mahu, kerajaan yang bersedia dan berupaya memastikan keamanan dan keharmonian di negara ini," katanya ketika berucap di hadapan lebih 60,000 orang yang menghadiri 'Majlis Ramah Mesra Bersama PM' di perkarangan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Westport, di sini Sabtu malam.

Oleh yang demikian, Perdana Menteri mempersoalkan motif pihak tertentu yang berkeras mahu membawa perubahan di negara ini sedangkan kerajaan sedia ada mampu membawa perubahan daripada segi politik, ekonomi dan sosial.

"Ahli politik tertentu bercakap mengenai 'Ubah', tetapi apa yang nak diubah?...

"Anda mahu ubah keamanan dan keharmonian negara dengan konflik dan keganasan? Adakah itu yang anda mahu?," tanya beliau.

Oleh itu, katanya sebagai Perdana Menteri yang mahu mendapatkan mandat baharu, beliau berikrar untuk memulihara keamanan dan keharmonian di negara ini.

Najib berkata jika perubahan yang dicari rakyat, itulah juga yang sedang dilakukan oleh kerajaan menerusi pelbagai program transformasi termasuk Program Transformasi Ekonomi dan Program Transformasi Kerajaan.

Menegaskan bahawa pelbagai program transformasi untuk membawa perubahan di negara ini tidak sama seperti 'Arab Spring' yang tersalah kira, Najib berkata transformasi yang dibawa kerajaan distruktur dan dirancang dengan baik dan sistematik untuk memastikan perubahan berlaku secara tersusun.

"Jika anda cuba bawa perubahan secara drastik dan radikal dalam tempoh semalaman, anda tidak akan dapat hasil seperti yang anda inginkan," katanya.

Kepada masyarakat Cina, Najib berkata kerajaan telah melakukan amat banyak daripada sebelumnya terutama dalam bidang pendidikan.

Beliau berkata di samping membenarkan pembinaan Sekolah Menengah Chong Hwa Kuantan di Pahang, kerajaan juga menempatkan semula 71 buah sekolah Cina ke tapak baharu.

Kerajaan juga akan terus memperuntukkan RM100 juta setahun untuk sekolah-sekolah Cina.

"Kerajaan juga sedang berbincang dengan Dong Zhong mengenai sijil UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu)," katanya.
Sumber

No comments:

Post a Comment