Wednesday, 24 April 2013

Video lucah: Umno fail saman fitnah terhadap Mustafa Ali dan 2 lagi


Umno telah memfailkan saman fitnah terhadap Setiausaha Agung Pas Datuk Mustafa Ali dan dua lagi berhubung penerbitan lima artikel yang mengaitkan pertubuhan itu dengan penyebaran video lucah di laman sesawang baru-baru ini.

Writ tuntutan itu difailkan Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab Rauf Yusoh bagi pihak Umno semalam di pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi Sivil melalui Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak.

Pihak media memperoleh salinan writ itu hari ini. Mahkamah menetapkan 10 Mei ini untuk pengurusan kes saman itu.

Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Umno hari ini memberitahu pemberita bahawa Umno memfailkan saman itu atas alasan artikel berkenaan adalah satu pembohongan nyata dan berniat untuk membawa organisasi itu ke dalam skandal awam dan dibenci.

"Umno mahu menjelaskan yang mereka tiada kaitan dengan politik kotor ini dan tidak terlibat langsung," katanya dan menurutnya Umno juga mahu mendapatkan keadilan.

Dalam writ itu, Umno menamakan Mustafa, peguam cara dan peguam bela bagi Mustafa, Asmuni Awi dan ketua pengarang laman portal HarakahDaily.net Zulkifli Sulong, masing-masing sebagai defendan pertama, kedua dan ketiga.

Umno memohon ganti rugi am, khas, teruk, teladan, faedah, kos, satu perintah injunksi menghalang defendan-defendan atau ejen-ejen mereka menerbitkan kata-kata fitnah itu terhadap Umno dan perintah kesemua defendan menerbitkan permintaan maaf secara bertulis di akhbar dan majalah.

Umno mendakwa Mustafa telah membuat pernyataan media mengenai parti itu berhubung penyebaran video lucah yang telah tersebar luas di laman sesawang sejak 11 April lepas yang kemudiannya diterbitkan semula di laman portal www.malaysiakini.com.

Umno juga mendakwa Mustafa pada hari sama telah menfitnah Umno di ceramah awam di markas Pas Kampung Molek, Dungun , Terengganu yang kemudiannya diterbitkan semula artikel kedua mengenai Umno di laman portal HarakahDaily.net.

Umno mendakwa kata-kata fitnah itu dalam erti kata lazim dan biasa membawa maksud bahawa Umno yang merancang insiden berkaitan video lucah itu, Umno sengaja membuat video itu dan parti itu merupakan dalang di sebalik pembikinan video itu.

Parti itu berkata Mustafa dengan sengaja mengeluarkan dan membuat pernyataan fitnah itu bertujuan untuk menghancurkan kepercayaan dan keyakinan rakyat negara ini terhadap Umno tanpa menghiraukan sensitiviti.

Umno berkata pernyataan fitnah itu telah disiarkan dan diterbitkan dengan sengaja dan berniat jahat untuk merosakkan dan menghancurkan reputasi parti itu di negara ini dan juga di mata dunia.

Umno mendakwa bagi artikel ketiga dan keempat pula, Asmuni telah mengucapkan kata-kata fitnah pada 12 April dan 13 April yang kemudiannya diterbitkan semula di HarakahDaily.net dan akhbar The Star.

Bagi artikel kelima pula, parti itu berkata defendan ketiga pada 12 April lepas telah menerbitkan semula kenyataan media berhubung video lucah itu oleh Mustafa di HarakahDaily.net.

Umno mendakwa pada 15 April lepas, Umno melalui peguam caranya, Tetuan Hafarizam telah menghantar notis tuntutan kepada semua defendan antara lain menuntut supaya berhenti daripada memberikan kenyataan berunsur fitnah, bagaimanapun sehingga tarikh writ difailkan mereka masih lagi gagal memberikan sebarang jawapan kepada tuntutan plaintif.

Parti itu berkata akibat daripada pernyataan fitnah itu, reputasi Umno telah terjejas dan mengalami kerosakan yang serius di mata rakyat Malaysia dan juga di mata dunia. - Bernama

Isu Pas Dakwa Calon PKR 'tangkap muat' Selesai - Anwar


Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata isu Pas mendakwa beberapa calon PKR sebagai "calon tangkap muat" sudah selesai.

"Kita telah selesai isu itu (calon) dengan baik. Alhamdulillah sedikit pun tak ada masalah," katanya kepada pemberita selepas berucap pada ceramah PKR di Sungai Udang di sini  petang ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang ada calon PKR yang terlibat dengan penjualan pil kuda serta menjulang  gambar tokoh berfahaman komunis.

PKR bertanding di tiga kawasan Parlimen dan tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri di Melaka pada pilihan raya umum ke-13. - Bernama

Tuesday, 23 April 2013

Kerajaan BN Jaga Kebajikan Rakyat - Hadi

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah negara selama ini menjaga kebajikan kepada rakyat.

Katanya, kerajaan memerintah melaksanakan pelbagai program berteraskan kebajikan seperti membina masjid, membantu golongan miskin, membina stadium dan sebagainya.

“Kita tidak nafikan apa yang dilakukan kerajaan BN untuk kebajikan rakyat,” katanya berucap di hadapan kira-kira 700 penyokong yang hadir pada ceramah umum di Kerteh, malam tadi.

Bagaimanapun, katanya pemerintahan BN juga tidak lepas daripada salah dan silap.

“Tak kan ‘tadok silap dan saloh’ selama 50 tahun BN memerintah dan Yang Maha Suci adalah Allah Taala tetapi kita sebagai manusia tetap ada salah dan silapnya,” katanya.

Hadi berkata, sesiapa sahaja yang menjadi kerajaan akan bertanggungjawab membina pelbagai kemudahan dan prasarana untuk rakyat begitu juga dengan PAS.

Sementara itu, beliau meminta semua penyokong parti itu supaya menerima duit yang diberikan kerajaan kerana wang pemberian itu adalah hak rakyat.

Monday, 22 April 2013

'Pakatan' Rakyat Gagal Berpakat - Najib


Datuk Seri Najib Tun Razak berkata parti pembangkang yang kononnya mendakwa mereka adalah "pakatan" rakyat sebenarnya gagal berpakat, malah bertanding sesama sendiri di beberapa kawasan pilihan raya umum ke-13 yang akan diadakan pada 5 Mei ini.
 
Perdana Menteri berkata jika untuk bertanding kerusi pilihan raya pun gagal berpakat, "apatah lagi untuk berpakat bagi mengendalikan pemerintahan negara."
 
"Pakatan pembangkang bukanlah satu gabungan yang boleh menjamin masa depan negara dan rakyat. Mereka bukanlah gabungan yang besar, gabungan yang satu, falsafah yang satu.
 
"Ranap negara kita kalau kita beri kepercayaan kepada pihak pembangkang," katanya ketika berucap merasmikan projek perumahan " Sentuhan Kasih Felda" di Felda Chini Timur 2, dekat sini hari ini,lapor Bernama.
 
Najib berkata rakyat perlu bijak menilai pakatan pembangkang kerana mereka tidak melakukan apa-apa pun untuk rakyat.
 
Jika rakyat mahukan perubahan, kerajaan Barisan Nasional (BN) sebenarnya telah banyak melakukan perubahan untuk kesejahteraan rakyat, katanya.
 
"BN pun hendak perubahan, perubahan dari dalam. Kerajaan BN tunjukkan bahawa perubahan dan transformasi dilakukan dari dalam, tak semestinya ubah kerajaan tapi masa depan kita yang berubah (menerusi program transformasi kerajaan BN)," katanya.
 
Penamaan calon pada Sabtu , calon parti PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR)telah bertanding di kerusi yang sama di Parlimen Labuan dan enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Panti (Johor), Sg Acheh (P.Pinang), Kota Damansara (Selangor), Bukit Besi, Kota Putera dan Seberang Takir (Terengganu).
 
Bagi BN, yang mempunyai 13 parti politik yang bergabung dengannya, masalah pembahagian kerusi telah diselesaikan dengan sebaiknya tanpa berlaku pertindihan.
 
Hanya segelintir kecil anggota parti politik gabungan parti itu yang telah keluar parti untuk bertanding sebagai calon bebas, antaranya anggota veteran yang enggan memberi laluan kepada muka baru.
 
Antara yang keluar bertanding sebagai calon bebas ialah bekas anggota Parlimen Tasek Gelugor Datuk Seri Shariff Omar yang bertanding di kerusi Parlimen yang sama dan DUN Sungai Dua, bekas exco kerajaan negeri Fadzil Hanafi bertanding kerusi DUN Alor Mengkudu dan bekas naib ketua wanita Umno Datuk Kamilia Ibrahim di Parlimen Kuala Kangsar.
 
Anggota parti pakatan pembangkang juga ramai yang turut keluar parti dan menjadi calon bebas, termasuk penyandang kerusi Parlimen dan DUN yang tidak berpuas hati mereka tidak dicalonkan.
 
Dua daripada mereka anggota DAP iaitu Jenice Lee Ying Ha penyandang kerusi DUN Teratai dan penyandang kerusi Parlimen Kota Melaka Sim Tong Him.
 
Mengenai Felda, Najib berkata kerajaan BN akan melakukan pendekatan lebih sistematik bagi membawa perubahan besar kepada warga peneroka di negara ini, di mana bagi fasa kedua untuk 50 tahun akan datang, ia akan memfokuskan kepada usaha menjadikan Felda sebagai sebuah organisasai bertaraf antarabangsa.
 
"Usaha kita adalah untuk membawa perubahan besar menerusi program transformasi yang menggunakan teknologi baru, penduduk setempat boleh menggunakan teknologi baharu untuk menghasilkan produk tempatan dan tradisional untuk pasaran," katanya.
 
Di bawah projek 'Sentuhan Kasih Felda' ini, sebanyak 100 unit rumah akan dibina untuk generasi baru Felda, dan setiap rumah dengan keluasan 304.80 meter persegi itu turut diberi subsidi kerajaan dengan pemilik rumah hanya perlu membayar antara RM75,000 hingga RM85,000 bagi seunit rumah berkenaan.
 
Felda turut menyediakan pelbagai kemudahan dan rekreasi serta pusat latihan dan pembelajaran di kawasan perumahan itu.

Sunday, 21 April 2013

Anwar pertahan Chegubard tanding di Sg Acheh


Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan tindakannya meletakkan Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai 'Chegubard' sebagai calon Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Acheh walaupun tindakan itu mendapat tentangan Pas.

Katanya pertembungan calon PKR dan Pas di kerusi Dun itu adalah disebabkan salah faham kedua-dua parti ketika mencalonkan wakil masing-masing.

"Bagi kita (tempoh) dua tiga hari untuk selesaikan perkara ini," beliau berkata dalam ceramahnya di hadapan penyokong pakatan pembangkang di Kampung Tok Keramat, dekat sini malam tadi.

Dun Sungai Acheh bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calonBarisan Nasional (BN) Datuk Mahmud Zakaria, calon PKR Chegubard dan Mohd Yusni Mat Piah dari Pas.

Pada PRU 2008, Mahmud memenangi kawasan Dun berkenaan dengan majoriti 250 undi mengalahkan calon PKR Dr Azhar Ahmad. - Bernama