Sunday, 28 April 2013

SWP Bukan Parti Mesra BN - Najib


Barisan Nasional tidak pernah merestui tindakan Parti Pekerja Sarawak (SWP) untuk bertanding di kawasan Parlimen Lubok Antu sebagai calon mesra BN, kata Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurut Najib, berkata dakwaan parti itu yang meletakkan presiden mereka, Larry Sng, sebagai calon mesra BN di kawasan parlimen adalah tidak benar sama sekali.
"Saya nak confirm bahawa William Nyalau Anak Badak adalah calon kita (Barisan Nasional). Tidak ada calon lain. Dia calon saya. Kalau ada orang lain (calon SWP) claim mereka calon mesra BN, ini tidak benar," katanya semasa berucap dalam majlis mesra bersama rakyat di Rumah Panjang Awing, Merindun, di sini Sabtu.
Katanya tindakan SWP untuk bertanding di kawasan parlimen ini nyata sekali tidak menggambarkan dakwaan mereka sebagai parti yang mesra BN.
"Kalau benar-benar mereka ini friendly BN, tak kanlah mereka hendak melawan BN pula," katanya.
Najib berkata sokongan padu rakyat di sini terhadap William Nyalau sebagai calon BN Parlimen Lubok Antu juga akan menjadi sumbangan kepada beliau untuk terus menerajui kepimpinan negara sebagai perdana menteri.
"Kalau anda pilih SWP bererti anda tidak mengundi saya. Mereka (SWP) tidak menyumbang kepada saya untuk terus menjadi perdana menteri. Kalau anda mengundi PKR, anda hanya akan menyumbang kepada (Datuk Seri) Anwar Ibrahim," katanya.
William Nyalau yang merupakan penyandang kerusi parlimen Lubok Antu akan turut ditentang calon PKR Nicholas Bawin.
Najib berkata taktik SWP untuk menggunakan wang ringgit untuk meraih undi di kalangan masyarakat di Lubok Antu yang sebahagian besarnya terdiri daripada kaum Iban menunjukkan parti pembangkang itu cuba merendah-rendahkan maruah diri masyarakat di sini.
"Kalau kita undi dia (Larry Sng), kita (pengundi) akan hilang maruah dan nilai diri. Masyarakat Iban perlu terus mempertahankan nilai dan maruah diri mereka," katanya.
Mengenai masalah pembangunan di Lubok Antu yang disuarakan William Nyalau ketika berucap sebelum itu, Najib berkata beliau bersetuju untuk memasukkannya sebagai sebahagian daripada agenda aku janji BN untuk dilaksanakan selepas memenangi pilihan raya ini.
Masalah pembangunan itu termasuklah ketiadaan jalan perhubungan yang baik melibatkan penduduk di sekitar kawasan Ulu Lemanak dan Ulu Engkari serta keadaan bangunan uzur di hospital daerah Lubok Antu dan Engkelili.
Najib berkata rakyat di kawasan luar bandar seperti di Lubok Antu perlu terus memberikan mandat kepada BN bagi membolehkan agenda transformasi luar bandar diteruskan yang bakal meningkatkan taraf hidup mereka.
"Kita (rakyat) memerlukan sebuah kerajaan yang kuat dan stabil untuk meneruskan agenda besar ini. Pembangkang tidak akan dapat menjamin pembangunan luar bandar. Hanya Barisan Nasional dapat menjamin pembangunan yang berterusan," katanya.
Sejurus tiba di rumah panjang itu, Najib yang diiringi Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu, Menteri Pembangunan Tanah negeri Tan Sri Dr James Jemut Masing dan Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg disambut kira-kira 5,000 penduduk setempat.

Saturday, 27 April 2013

Pakatan Bajet Boleh Menang 122 kerusi Parlimen - Husam Musa


Pakatan Rakyat (PR) yakin akan memperolehi tambahan lima kerusi Parlimen berbanding 118 yang dijangkakan sebelum ini, kata Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa.

Beliau berkata demikian apabila mendapat 'berita' berdasarkan pada perkembangan semasa menjelang hari pengundian 5 Mei.

"Sebelum ini 118 kerusi di seluruh negara, saya tak suka main dengan angka.

"...tetapi kita baru dapat maklumat dari 'sebelah sana', kita akan dapat 122 kerusi pada pilihan raya ini," kata beliau kepada 5,000 hadirin yang mendengar ceramahnya, di sini, malam tadi.
Ceramah itu turut dihadiri Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Mengulas lanjut, Husam yang juga calon Putrajaya dan Dun Salur berkata rakyat tidak perlu takut kepada pemimpin Umno dalam usaha mereka melahirkan sokongan kepada PR pada PRU kali ini.

Katanya, rakyat mempunyai kuasa untuk memilih pemimpin sama ada mengekalkan atau menjatuhkannya.

"...Tengku Adnan lagi takut pada kita (rakyat), fasal kita ramai.

"Kuasa ada pada kita, kita akan jatuhkannya pada 5 Mei nanti, kenapa nak takut?," kata Husam yang mencabar Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Dalam pada itu, Husam turut menekankan mengenai manifesto PR termasuk isu tol, minyak dan sebagainya.

Husam juga mengulangi janjinya kepada warga Putrajaya untuk membantu menyelesaikan masalah yang ada di kawasan tersebut jika diberi mandat pada PRU13.

Nik Aziz Yakin Rakyat Pilih Kerajaan Pusat Baru 5 Mei


Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yakin Barisan Nasional (BN) akan dikuburkan selama-lamanya pada 5 Mei ini dengan kerajaan baru dibentuk pada keesokan hari.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, dengan angin kebangkitan rakyat negara ini yang mahukan perubahan dalam atmosfera politik akan memilih Pakatan Rakyat (PR) sebagai peneraju kepimpinan negara dan menolak kerajaan sekarang.

“(Pada) 5 Mei rakyat akan mengundi, keyakinan saya mereka memilih kerajaan yang berlandaskan syariat Islam.

“6 Mei seluruh negara akan merayakannya dengan tertubuhnya negara Islam sebenar. Gelombang Islam akan hapuskan nilai-nilai sekular,” katanya ketika menyampai ceramah perdana bertajuk ‘Pas For All’ di sini malam tadi.

Hadir sama, calon Pas Parlimen Putrajaya, Datuk Husam Musa; Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar; Timbalan Pesuruhjaya Pas Wilayah Persekutuan, Md Nor Mohd; Yang Dipertua Pas Putrajaya, Nazir Zakaria dan calon Pas Parlimen Titiwangsa, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzami.

Dalam perkembangan sama menurutnya, PR akan menerapkan konsep cara hidup Islam sepenuhnya dalam setiap aspek kehidupan.

“Islam datang dari ALLAH SWT, kita (manusia) hanya menumpang di dunia ALLAH. Tibalah masanya kita amalkan sebuah negara mengikut acuan seperti yang disyariatkan.

“Saya yakin Putrajaya ini bakal dirampas dan kita bersama-sama menobatkan Datuk Husam Musa sebagai Ahli Parlimen Pas di sini,” katanya.

Sementara itu, di Pentas Treler Negara Berkebajikan yang sama, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, sekiranya BN terus memerintah negara fitnah akan menjadi santapan rakyat setiap hari.

“Sebelum menjelang tarikh 5 Mei, Umno-BN telah rencanakan 1,001 fitnah jahat sebagai momokan pilihan raya.

“Terkini blogger Milo Suam mendedahkan proses undi awal penjawat awam tidak seperti dijadualkan berlangsung pada 30 April telah didakwa tetapi Papagomo yang memihak kepada mereka dibiarkan bertanding sebagai calon bebas di Permatang Pauh,” katanya.

Mengulas perkara sama Nurul Izzah berkata, tanpa Pemantau Pilihan Raya (Paca) tidak mustahil BN akan merampas keputusan pilihan raya.

“Diingatkan undi setiap rakyat adalah penting untuk masa depan negara kerana pilihan raya kali ini terpenting buat kita.

“Kita perlu kuat menahan fitnah dan tohmahan menjelang tarikh 5 Mei kerana semua itu akan kita kuburkan pada hari berikutnya,” katanya.
Sumber - Sinar

Pemimpin PR Perlu Henti Polemik Hudud - Mustafa


Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali menggesa pemimpin Pas dan DAP supaya tidak meneruskan pertikaian isu hudud dalam media kerana ia hanya  akan menjerumus mereka ke dalam perangkap Umno-Barisan Nasional (BN).

Kata beliau, isu hudud telah mencapai kata sepakat pada September 2011 dan perkara itu tidak perlu ditimbulkan sehingga boleh mencetus polemik khususnya menjelang 5 Mei.

"Ini adalah perangkap Umno yang biasa setiap kali pilihan raya, isu ini akan diapi-apikan Umno melalui media supaya akan ada percanggahan pendapat dan tujuannya untuk porak-perandakan Pakatan Rakyat.

"Semua pimimpin PR perlu hentikan isu polemik itu dalam media.

"Isu ini sudah selesai September 2011, kita ada buat kenyataan, kita akui DAP tak setuju dengan hudud, Islam tetap jadi dasar Pas, DAP hormatinya," kata beliau kepada pemberita di sini, hari ini.
Mustafa berkata demikian mengulas lanjut desakan Pengerusi DAP, Karpal Singh semalam yang mendesak Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menyatakan pendirian berhubung isu hukum hudud dan konsep negara Islam yang ingin dilaksanakan Pas.

Perkara itu turut ditimbulkan semula oleh Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din pada Rabu lepas yang mengatakan DAP tiada masalah dalam isu pelaksanaan hudud selepas parti itu bersetuju menggunakan logo Pas.

Dalam pada itu, meskipun agama Islam itu menjadi dasar perjuangan Pas, namun ia bukan sebahagian daripada dasar bersama dalam agenda dan manifesto PR pada pilihan raya kali ini.

Malah Mustafa memberi jaminan bahawa isu hukum hudud itu tidak akan memecahbelahkan antara Pas dan DAP kerana masing-masing akur dan memahami terhadap perbezaan yang timbul.

"Memang kita ada perbezaan dengan DAP, kebersamaan kita lebih besar daripada perbezaan.

"Kita tentang korupsi, penyelewengan itulah isu besar kita, ia tak akan dipinggirkan tak kira kaum antara komponen PR.

"Tok Guru pun cakap hudud tak boleh dipaksa, begitu juga agama Islam pun tak boleh dipaksa, apatah lagi pula soal perundangan," katanya sambil mengulangi komitmen Pas untuk menentang Umno dan BN pada PRU13 ini.

Thursday, 25 April 2013

Umcedel: Pengundi Cenderung Pilih Anwar jadi PM


Populariti Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengatasi Datuk Seri Najib Tun Razak dari aspek siapa lebih layak jadi perdana menteri kali ini, demikian menurut hasil kajian terbaru Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel).

Kajian membabitkan 1,407 responden itu dijalankan bermula hari pembubaran Dewan Rakyat sehingga 20 April lalu, iaitu pada hari penamaan calon.

"Peratusan keseluruhan siapa yang layak menjadi perdana menteri menunjukkan Anwar (dapat) 43 peratus manakala Najib 39 peratus," kata Pengarah Umcedel, Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman.

Baki adalah mereka yang tidak pasti pendirian.

"Populariti Anwar ini meningkat apabila beliau memulakan siri jelajah ke seluruh negara," ujar beliau.
Menurut hasil kajian itu lagi katanya, 54 peratus daripada pengundi Melayu turut memilih Anwar sebagai perdana menteri manakala 34 peratus pula memilih Najib.

Anwar turut popular di kalangan pengundi kali pertama yang cenderung memilih beliau sebagai perdana menteri.

Berdasarkan hasil kajian yang membabitkan pelbagai latar belakang umur, kaum, pekerjaan dan pendidikan itu di Semenanjung Malaysia, Najib mengungguli aspek pemimpin yang rapat dan mesra pengundi atau rakyat.

Sementara kajian membabitkan manifesto Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) pula menunjukkan kecenderungan pengundi lebih kepada manifesto pembangkang.

"Manifesto yang diterima rakyat, BN 38 peratus, PR 42 peratus sementara 22 peratus tidak pasti," kata Mohammad Redzuan.

Kajian itu juga menunjukkan 61 peratus pengundi Cina percaya kepada manifesto PR.

Kajian Umcedel turut meliputi sama ada isu politik semasa seperti  video seks turut mempengaruhi pengundi untuk memilih mana-mana parti politik menunjukkan 62 peratus daripada mereka merasakan ia tidak memberi sebarang kesan.

Sebanyak 11 peratus menyatakan "ya" manakala 27 peratus lagi mengatakan "tidak pasti" sama ada ia memberi kesan atau mempengaruhi mereka.

Kajian juga menunjukkan 39 peratus mengatakan video seks ini adalah propaganda Umno sebagai gimik pilihan raya, 22 peratus mengatakan tidak, sementara 39 peratus lagi tidak pasti.

"Kajian terbaru kita menunjukkan pengundi Cina sudah membuat pilihan berbanding orang Melayu," katanya.

Menyifatkan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) ini sebagai sengit, kedua-dua parti popular, BN dan PR katanya, hanya dipisahkan oleh lima peratus dan 10 hari yang terakhir ini adalah peluang untuk merebut hati pengundi.

"Peratusan pengundi atas pagar telah menurun daripada 21 peratus pada Mac kepada sembilan peratus pada bulan ini.

"Kita lihat pengundi Cina, yang sebelum ini majoriti pengundi atas pagar, sudah membuat keputusan siapa yang akan mereka undi," ujar beliau.

Namun katanya, hari-hari terakhir akan memberikan impak besar sama seperti pada Mac 2008.

"Dalam konteks pilihan raya di Malaysia, apa-apa pun boleh berlaku. Dalam 10 hari ini macam-macam boleh berlaku," kata beliau..
Sumber