Ahmad yang ditemui Sinar Harian Online ditanya berhubung kontroversi terbaru yang melibatkan Ahli Parlimen Lembah Pantai, yang merupakan anak kepada ketua pembangkang Parlimen Malaysia itu.
“Jadi anak dia...jurucerita lah,"kata Ahmad yang juga Ketua Penerangan Umno.
Nurul Izzah semalam mengarahkan dua peguamnya untuk mengambil tindakan ke atas dua akhbar dan beberapa blog berkaitan isu kebebasan beragama yang disifatkan beliau sebagai berbaur fitnah.
Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkemungkinan memanggil Nurul Izzah berhubung kenyataannya yang menyebut rakyat tidak harus dipaksa mengamalkan ajaran tertentu termasuk kepada orang Melayu.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, "daripada laporan kenyataan itu memang sah dia menyebut itu dan setakat ini saya tidak mendengar penafian dia menyebut perenggan itu.
“Perenggan yang dia sebut itu mempunyai implikasi yang cukup besar dan sehingga dia menafi bahawa perenggan itu dia tidak sebut, pada saat dan ketika ini, saya mengatakan bahawa beliau telah tersalah sebut sesuatu yang sungguh dahsyat,"kata Ahmad lagi.
Ahmad menasihati pemimpin PKR itu agar peka bahawa "di Malaysia ini, orang Melayu adalah orang yang beragama Islam mengikut Perlembagaan. Kalau dia bukan beragama Islam, dia bukan Melayu. Ini pelik, hanya (negara) kita sahaja yang mengaitkan bangsa dengan agama.Negara lain tidak ada.
“Negara kita unik, dia kena faham ini. Orang Arab ada yang Kristian. Tetapi orang Melayu di Malaysia, selagi dia hendak dipanggil Melayu, tak boleh Kristian,” katanya.
“Tidak ada paksaan dalam beragama, ayat itu kalau kita hendak memaksa orang bukan Islam, masuk Islam memang tidak boleh. Tetapi kalau orang itu sudah Islam, dia kena amalkan ajaran Islam,” jelasnya lagi.
Justeru ujar Ahmad, pihak pembangkang tidak seharusnya meletakkan beban kesalahan ke atas media apabila mereka sendiri mengeluarkan kenyataan itu sama ada ia benar atau tersalah sebut.
Media tidak akan bertindak memanipulasi isu sebesar ini tanpa sebarang bukti apatah lagi untuk entiti yang sering berhadapan dengan kes saman, mereka ini pastinya lebih berhati-hati, kata Ahmadyang juga Ketua Publisiti dan Penerangan Barisan Nasional.
“Dalam kes Nurul Izzah ini, saya yakin akhbar-akhbar yang melapor itu sudah mendapat maklumat yang sahih,” tambah Ahli Parlimen Pontian ini.
No comments:
Post a Comment