Tuesday, 19 February 2013

Muhyiddin: Dasar BN kuat banding Pakatan

Barisan Nasional (BN) memiliki dasar kepimpinan yang kuat untuk terus menerajui negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

 Beliau berkata, keadaan itu jauh berbeza berbanding Pakatan Rakyat (PR) yang dilihat sering bertelagah mengenai sesuatu isu.


Mengambil contoh konflik perebutan kerusi di Johor antara PKR dan DAP pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Muhyiddin yang juga Pengerusi BN Johor mengaggap perkembangan terbaru itu menunjukkan pembangkang tidak mempunyai hala tuju dan paduan yang sama.

 “Perkara ini sudah lama berlaku, menggelegak dalam diam, kalau soal kerusi pun tak selesai, nanti bila timbul benda (masalah) lain, bergaduh pula.

 “Jadi ini jelas, mereka tidak memberi gambaran sebagai parti pembangkang dengan baik, hala tuju dan dasar mereka tiada paduan yang sama,” katanya pada sidang media program Himpunan Rakyat 1Malaysia di Dataran Pusat Kegiatan kemas, di sini, hari ini.

 Terdahulu, Muhyiddin menyampaikan replika kunci unit kedai kepada sembilan peniaga di Pasar Awam Sungai Siput di bawah projek Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan membabitkan kos RM938,000.

 Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Pengerusi BN Sungai Siput, Datuk Seri Samy Vellu dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk K Devamany dan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Tan Lian Hoe.

 Mengulas lanjut, Muhyiddin menganggap, kemasukan bekas Naib Presiden MCA, Datuk Dr Chua Jui Meng sebagai Ketua PKR Johor masih belum berupaya untuk menggugat kedudukan Johor sebagai kubu kuat Umno dan BN.

 Katanya, pergolakan yang berlaku dalam kepimpinan PR menyebabkan keyakinan rakyat semakin goyah. “Dia (Jui Meng) orang PKR, tetapi rakyat tidak berapa yakin dengannya, apatah lagi keyakinan rakyat kepada pimpinan itu semakin goyah.

 “Johor tempat sejarah Umno bermula, kedudukan kita kini semakin kuat hasil sokongan rakan kompenan lain dan kita cukup yakin dapat mempertahankan kedudukan di Johor,” katanya.

 Laporan media menyebut, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa campur tangan bagi menyelesaikan kemelut perebutan kerusi di negeri Johor. Desakan itu berikutan rasa tidak yakin pimpinan DAP terhadap kepimpinan PKR negeri dibawah pimpinan Jui Meng.

 PR di Johor sebelum ini dikatakan tidak berdepan sebarang masalah dalam menyelesaikan masalah kerusi sehinggalah bekas Menteri Menteri Kesihatan itu menyertai mereka pada 2009.

 Sumber daripada Sinar Harian.

No comments:

Post a Comment