Monday 19 August 2013

Kerajaan Kedah sedia pengawal keselamatan di Mesir


Kerajaan Kedah mengambil tindakan mengupah pengawal keselamatan bagi mengawal asrama pelajarnya di Mesir susulan kejadian ceroboh dan samun di asrama itu dua hari lepas.

Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata tindakan itu dilaksana menerusi Yayasan Islam Kedah (YIK) bagi memastikan keselamatan penghuni asrama
yang sebahagian besar anak Kedah terjamin.

"Melihat keadaan dan situasi negara yang sedang bergolak itu pihak keselamatan gagal untuk mengawal keadaan sehingga ada pihak yang cuba ambil kesempatan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya masih terdapat 721 pelajar dari Kedah di Mesir ketika ini, manakala 390 orang telah pulang ke tanah air kerana cuti semester.

Kerajaan negeri sedang menunggu arahan kerajaan pusat untuk membawa pulang pelajar selain memantau bekalan makanan mereka, katanya menambah beliau
dimaklumkan rakyat Mesir juga menasihatkan pelajar Malaysia kembali ke tanah air secepat mungkin.   

Sehubungan itu juga, beliau menasihatkan anak Kedah yang bakal menyambung pengajian di Mesir menangguhkan dahulu pengajian mereka sehingga keadaan kembali stabil.

Katanya kerajaan negeri juga sedang mempertimbang untuk memindahkan anak Kedah di Mesir menyambung pengajian di negara lain seperti Jordan atau
universiti tempatan.

Mukhriz sebelum itu menyampaikan Surat Tawaran Pinjaman Pelajaran Kepada 35 Pelajar yang belajar di Mesir dan Jordan tajaan YIK Sesi 2013/2014 di Wisma
Darul Aman di sini. hari ini.

Sementara itu beliau turut menggalakkan pelajar yang melanjutkan pelajaran di negara asing mengambil kesempatan mempelajari dan menguasai bahasa negara
tuan rumah.

"Kita lihat dari mula sampai habis belajar mereka langsung tidak guna kesempatan untuk benar-benar mendalami bahasa asing untuk tingkatkan kefasihan bahasa asing. Kalau kita lihat mereka ini hanya duduk dalam kumpulan pelajar Malaysia sahaja tanpa bergaul dengan masyarakat setempat," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment