Thursday, 11 April 2013

Manifesto Lepas Pon tak Ditepati Lagi Mahu Bentang Manifesto.


Selangor akan membentangkan manifestonya yang berasingan daripada Pakatan Rakyat Pusat tiga hari sebelum penamaan calon.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, manifesto yang akan dibentang itu lebih bersifat menyeluruh berdasarkan kepada pencapaian dan hala tuju negeri. 
"Yang dibentangkan Pakatan Rakyat Pusat adalah 'umbrella manifesto'.

"Tetapi Selangor mesti ada manifestonya sendiri sebab ia ada 'track record'," ujar Khalid dalam wawancara khas bersama Sinar Harian Online di pejabatnya kelmarin.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan penamaan calon akan diadakan 20 April.

Menurut Khalid, manifesto yang akan dibentangkan itu akan memperincikan lagi pengurusan sumber Selangor supaya akhirnya kekayaan negeri dapat dimanfaat ke arah kebaikan dan menguntungkan rakyat.

"Daripada kuasa utama kepada aset hartanah, kepada usaha-usaha kebajikan, peningkatan pendidikan dan cara-cara pentabdiran yang telus dan juga mengutamakan apa yang dipanggil urus tadbir korporat, antara yang akan ditekankan dalam manifesto itu," ujar Khalid.

Pakatan Rakyat membentangkan manifestonya pada 25 Februari lalu dengan menumpukan kepada empat teras utama.

Empat teras itu merangkumi Rakyat Bersaudara, Ekonomi Rakyat, Kesejahteraan Rakyat dan Kerajaan Rakyat.

Khalid dalam temubual itu juga menafikan sekeras-kerasnya bahawa Pakatan Rakyat gagal menunaikan janji manifestonya pada PRU lalu.

"Itu satu perkara yang tohmahan sahaja. Orang mesti asingkan parti dan pentadbiran. Pentadbiran ini termasuk penjawat awam dan sebagainya.

"Tetapi apakah di Selangor, manifesto yang diutarakan oleh kumpulan Pakatan Rakyat (masa itu belum Pakatan Rakyat) diberikan tumpuan oleh kerajaan negeri Selangor. Jawapannya ya.

"Lebih daripada 20 program yang dijanjikan telah dilakukan dan program-program ini lebih baik daripada program sebelum 2008," tegas beliau.

Mutakhir ini beberapa saman difailkan ke atas kerajaan negeri Selangor, yang pertama kali dalam sejarah Malaysia, kerana kegagalan menunaikan janji pilihan raya.

Menurut Khalid, saman yang difailkan oleh 1,001 warga emas kerana kononnya kerajaan negeri gagal menunaikan janji manifesto adalah suatu perkara yang tidak benar.

Menurut Khalid, yang dijanjikan kerajaan negeri adalah skim khairat kematian untuk warga emas.

"Jawapannya betul (mereka tak dapat), dia hanya akan menerima skim itu dan keluarganya menerima skim itu apabila mereka sudah meninggal dunia. Ia skim khairat kematian, " ujar Khalid.

Menurut Khalid, beliau percaya, beberapa saman yang difailkan ke atas kerajaan negeri didalangi oleh Umno-Barisan Nasional. 
"Satu daripada cara Umno-Barisan Nasional menunjukkan mereka selepas Selangor di bawah Pakatan Rakyat mereka cuba mencari jalan menebuk-nebuk usaha yang dilakukan," ujarnya.

Selain isu warga emas, kerajaan Selangor turut berhadapan saman seramai 2,020 ibu tunggal yang menuntut RM10.9 juta ekoran kegagalan menunaikan janji pemberian elaun kepada golongan itu dalam manifesto pilihan raya 2008.

No comments:

Post a Comment