Saturday, 27 April 2013
Nik Aziz Yakin Rakyat Pilih Kerajaan Pusat Baru 5 Mei
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yakin Barisan Nasional (BN) akan dikuburkan selama-lamanya pada 5 Mei ini dengan kerajaan baru dibentuk pada keesokan hari.
Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, dengan angin kebangkitan rakyat negara ini yang mahukan perubahan dalam atmosfera politik akan memilih Pakatan Rakyat (PR) sebagai peneraju kepimpinan negara dan menolak kerajaan sekarang.
“(Pada) 5 Mei rakyat akan mengundi, keyakinan saya mereka memilih kerajaan yang berlandaskan syariat Islam.
“6 Mei seluruh negara akan merayakannya dengan tertubuhnya negara Islam sebenar. Gelombang Islam akan hapuskan nilai-nilai sekular,” katanya ketika menyampai ceramah perdana bertajuk ‘Pas For All’ di sini malam tadi.
Hadir sama, calon Pas Parlimen Putrajaya, Datuk Husam Musa; Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar; Timbalan Pesuruhjaya Pas Wilayah Persekutuan, Md Nor Mohd; Yang Dipertua Pas Putrajaya, Nazir Zakaria dan calon Pas Parlimen Titiwangsa, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzami.
Dalam perkembangan sama menurutnya, PR akan menerapkan konsep cara hidup Islam sepenuhnya dalam setiap aspek kehidupan.
“Islam datang dari ALLAH SWT, kita (manusia) hanya menumpang di dunia ALLAH. Tibalah masanya kita amalkan sebuah negara mengikut acuan seperti yang disyariatkan.
“Saya yakin Putrajaya ini bakal dirampas dan kita bersama-sama menobatkan Datuk Husam Musa sebagai Ahli Parlimen Pas di sini,” katanya.
Sementara itu, di Pentas Treler Negara Berkebajikan yang sama, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, sekiranya BN terus memerintah negara fitnah akan menjadi santapan rakyat setiap hari.
“Sebelum menjelang tarikh 5 Mei, Umno-BN telah rencanakan 1,001 fitnah jahat sebagai momokan pilihan raya.
“Terkini blogger Milo Suam mendedahkan proses undi awal penjawat awam tidak seperti dijadualkan berlangsung pada 30 April telah didakwa tetapi Papagomo yang memihak kepada mereka dibiarkan bertanding sebagai calon bebas di Permatang Pauh,” katanya.
Mengulas perkara sama Nurul Izzah berkata, tanpa Pemantau Pilihan Raya (Paca) tidak mustahil BN akan merampas keputusan pilihan raya.
“Diingatkan undi setiap rakyat adalah penting untuk masa depan negara kerana pilihan raya kali ini terpenting buat kita.
“Kita perlu kuat menahan fitnah dan tohmahan menjelang tarikh 5 Mei kerana semua itu akan kita kuburkan pada hari berikutnya,” katanya.
Sumber - Sinar
Labels:
nik aziz
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment