Wednesday, 10 April 2013

Manifesto : Pembangkang 'Tiru' BN - Muhyiddin



Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata manifesto pilihan raya pakatan pembangkang sebenarnya hanya mengembangkan inisiatif yang telah dilaksana kerajaan Barisan Nasional (BN) selama ini.
Mereka hanya menokok tambah apa yang telah dilaksanakan kerajaan BN, kemudian menjaja kononnya BN meniru agenda yang dibentangkan mereka, kata Timbalan Perdana Menteri.
Beliau berkata manifesto pembangkang tidak mengambil kira keupayaan dan kestabilan ekonomi negara, malah banyak perkara yang disentuh juga lebih menumpukan kepada kepentingan kelompok tertentu masyarakat.
"(Ini) kerana mereka tidak mempunyai pengalaman, ramai pakar telah menganalisis manifesto tersebut dan mendapati ia tidak boleh dilakukan atau dilaksana," katanya pada sidang media selepas majlis Anugerah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia 2012 di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi, Gombak dekat sini hari ini.
Mengambil contoh agenda penurunan harga kereta dalam manifesto pembangkang itu, Muhyiddin berkata ia tidak boleh dilaksanakan secara drastik kerana boleh membawa kesan buruk bukan sahaja kepada industri automotif tetapi ekonomi negara secara keseluruhan.
"Contohnya kalau dia menang esok, harga kereta akan turun, dan apa akan terjadi kepada industri kenderaan yang nilainya berbilion-bilion," katanya.
Beliau berkata berbeza dengan manifesto BN yang merupakan aku janji menyeluruh.
Dalam merancang manifesto itu, BN  mengambil kira perbelanjaan dan pendapatan yang semakin meningkat yang boleh dijana dari pelbagai aspek seperti dana, pelaburan dan kutipan cukai, tanpa memberi kesan kepada defisit negara, katanya.
Menyentuh soal pilihan raya umum ke-13, berhubung kemungkinan Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman bertanding menentang pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang untuk kerusi Parlimen Gelang Patah, Johor, Muhyiddin berkata Umno dan BN perlu mengambil kira pandangan pelbagai pihak sebelum sebarang keputusan dibuat.
Banyak pandangan dan maklum balas membabitkan pengundi Melayu, Cina dan India di kawasan itu telah dikumpul berhubung cadangan itu, namun keputusan penuh tertakluk kepada persetujuan (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Tun Razak selaku pengerusi BN, katanya.
"Tentunya perkara ini juga tidak diduga Kit Siang, mungkin dia telah lama merancang untuk bertanding di situ dan kini kita lihat dia sudah terperangkap dengan keadaan sebegitu.
"Sama ada (Setiausaha Agung DAP) Lim Guan Eng atau Kit Siang bertanding, kita (BN) tidak kisah, yang mustahak kita akan pertahankan kerusi itu, kita ada strategi dan cara sendiri," katanya.
Mengenai PKR pula, tentang (penasihat) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden Mohamad Azmin Ali yang dilihat diseolah-olah menentang hasrat Presiden parti itu Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail bertanding di Selangor, Muhyiddin berkata biasanya presiden sesebuah parti politik mempunyai kuasa dan hak untuk membuat keputusan.
"Tetapi dalam kes Dr Wan Azizah berlaku sebaliknya apabila kuasa itu telah diambil alih oleh penasihat parti, iaitu Anwar.
"Walaupun mereka tinggal serumah, suami dan isteri, tetapi apabila buat kenyataan, ia tidak selari," katanya.
Muhyiddin turut menganggap pilihan raya membabitkan pemimpin PKR itu akan bertambah menarik apabila penulis blog Papa Gomo yang sering mendedahkan dakwaan salah laku Anwar, mengumumkan hasrat untuk bertanding menentang ketua pembangkang itu di Permatang Pauh, Pulau Pinang atau di mana-mana Anwar bertanding.
"Ia tentu menarik...mungkin banyak lagi rahsia yang dia nak dedahkan. Jadi bagusla, kita akan lihat itu sebagai ruang untuk kita ketahui lebih banyak tentang Anwar," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment